November 23, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 18 Mei – Pusat Jaringan Komuniti dan Industri Universiti Teknologi Malaysia (CCINUTM) telah menyampaikan sumbangan kebajikan kepada tiga rumah kebajikan di sekitar Johor Bahru.

Rumah kebajikan yang menerima sumbangan tersebut adalah Rumah Perlindungan Wanita Baitus Solehah, Rumah Anak Yatim dan Miskin Raudhatul Maryam dan Madrasah Tahfiz Sidi Ibrahim, Seelong.

Pengarah CCINUTM, Prof. Madya Dr Johari Surif berkata program Tautan Kasih Ramadhan 2020 ini telah memperolehi dana hasil sumbangan dari kakitangan, mahasiswa dan juga komuniti sekitar UTM.

“Kami memudahkan warga UTM dan juga masyarakat awam untuk menderma serta menambah keberkatan dalam bulan yang mulia ini melalui opsyen dua pakej sumbangan iaitu RM 70.00 dan RM100.00.

Penyumbang boleh memilih untuk menyumbang melalui pakej RM 70.00 ataupun RM100.00. Pakej bernilai RM70.00 adalah bagi barangan beras, minyak masak, biskut, gula dan susu,” katanya.

Pakej RM100 pula digunakan bagi membeli barangan seperti (beras, minyak, biskut, susu, kicap, sos dan sabun basuh pakaian. CCINTUM juga bersedia menerima sumbangan berbentuk wang tunai dan juga barangan dan pakaian jika ada.

Mengulas teantang pemberian bantuan kebajikan ini Dr Johari berkata selain menggalakkan amalan menderma dalam kalangan warga UTM dan komuniti setempat, CCINUTM juga dapat meringankan beban golongan yang memerlukan dalam waktu genting seperti ini.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diisytiharkan kerajaan hanya membenarkan seorang sahaja yang keluar untuk membeli barangan keperluan dan ini tentu sekali menyukarkan pihak pengurusan rumah kebajikan ini dalam menguruskan pembelian stok barang makanan untuk penghuninya.

Untuk itu kami merasakan sumbangan ini adalah tepat pada masanya dalam memberikan sedikit keringanan untuk orang yang memerlukan,” katanya.

Menurut Dr Johari lagi, bantuan ini akan turut dipanjangkan kepada empat orang ibu tunggal yang tinggal di sekitar UTM.

“Kami sudah mengenal pasti golongan penerima ini dan satu kunjungan akan dibuat ke kediaman mereka bagi menyampaikan barangan sumbangan sebelum menjelangnya hari raya aidilfitri ini,” katanya lagi.

Pengetua Raudhatul Maryam, Mohd Nasir Mohd Nor menerima sumbangan Program Tautan Ramadhan 2020 dari Pengarah CCINUTM, Prof Madya Dr Juhari Surif (kiri) dalam lawatannya ke rumah kebajikan itu baru-baru ini.
Penolong Pengurus Baitus Soleha, Dr Othman Napiah (kiri) menerima bantuan kebajikan dari Pengarah CCINUTM, Prof Madya Dr Johari Sufif (kanan)

Explore More