November 27, 2024

Search
Close this search box.

Kekal proaktif sepanjang Covid-19 dengan pelaksanaan program secara dalam talian

Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diumumkan oleh kerajaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyahut arahan agar mengelakkan perjumpaan di tempat awam dan mematuhi segala prosedur yang telah ditetapkan.

Namun ia dilihat boleh menjejaskan produktiviti kakitangan dan warganya apabila segala aktiviti akan terbatas dan tergendala.

Oleh itu UTM mengambil inisiatif pintar dengan mengadakan program pembangunan pelajar dan staf secara dalam talian.

Sehingga artikel ini di tulis, sebanyak 171 program pembangunan staf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dilaksanakan secara dalam talian (online) sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ini bagi membolehkan kakitangan universiti ini terus mendapat ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan walaupun berdepan kekangan susulan dari keadaan semasa yang berlaku dalam negara.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Pejabat Hal Ehwal Korporat (HEK) UTM, platform yang paling banyak digunakan bagi menjalankan program pembangunan staf ini adalah aplikasi Facebook yang mencatatkan penggunaan sebanyak 52 peratus diikuti Cisco Webex (32 peratus), Zoom (lapan peratus), Youtube (empat peratus), Google Meet (tujuh peratus) dan lain-lain yang mencatatkan penggunaan sebanyak dua peratus.

Sebanyak 80 program yang dijalankan adalah berbentuk Kerohanian/Keagamaan/Motivasi dan Kesihatan diikuti oleh 20 program berbentuk pembelajaran dan pengajaran.

Program Pembangunan Pelajar yang dijalankan pula adalah sebanyak 15 program diikuti dengan program keterlibatan (engagement) oleh staf dan juga pelajar UTM dengan komuniti dalam dan luar daerah sebanyak 15 program.

Sebanyak 14 program berbentuk santai telah dianjurkan untuk mengurangkan ketegangan yang dihadapi oleh staf dan pelajar dalam masa PKP dan telah mewujudkan norma baharu bagi kehadiran staf dan pelajar ke program ilmiah.

Sesuai dengan status semasa UTM sebagai Universiti Penyelidikan (RU), siaran-siaran berbentuk penyelidikan, pengkomersilan dan penerbitan yang telah disiarkan adalah sebanyak 13 program.

Aspek-aspek kepimpinan dan kompetensi staf juga seharusnya diambil kira dalam usaha untuk membina sebuah organisasi yang cemerlang dan terbilang di seluruh dunia. Maka dengan itu, sebanyak 11 program telah diterbitkan berkaitan dengan aspek ini.

Bagi menghalang penularan virus COVID-19 yang menjadi salah satu sebab pelaksanaan PKP, institusi pendidikan seperti sekolah dan juga pengajian tinggi dalam negara telah diarah untuk menutup sementara operasinya serta juga diminta untuk memberi cuti kepada kakitangan dan juga mahasiswa masing-masing.

Sebagai warga salah satu universiti terbilang di negara ini, warga UTM seharusnya sentiasa bersikap positif dan berdoa agar fenomena virus ini dapat diatasi.

Aplikasi Facebook mendahului aplikasi lain dengan kadar penggunaan sebanyak 52 peratus bagi menjalankan program pembangunan sumber manusia sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjalan.

Explore More