April 27, 2024

Search
Close this search box.

Staf Jabatan TNCP ‘Hero Tak Didendang’ Bagi Pelajar Sepanjang PKP di UTM

Demi kelangsungan dan kesejahteraan hidup pelajar di kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terdapat pelbagai pihak yang telah tampil untuk bersama-sama menyumbang tenaga dalam memastikan bekalan makanan dan keperluan harian pelajar mencukupi.

Antara pihak yang terlibat dalam usaha ini adalah pasukan daripada Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) atau TNCP.

Pasukan tersebut telah menyumbang bakti yang tidak henti tanpa mengira penat lelah mereka dari waktu pagi hingga lewat petang dan malahan hujung minggu demi untuk bersama-sama pihak UTM yang lain bertindak pantas dalam menyempurnakan segala keperluan pelajar UTM dari semasa ke semasa.

Makanan sebagai contoh adalah keperluan utama pelajar kerana mereka tidak dibenarkan keluar dari kampus sepanjang PKP jadi pihak Universiti melalui TNCP dengan kerjasama Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) memastikan keperluan makanan adalah tersedia dan mencukupi kepada kesemua 3,218 pelajar kampus Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

Pasukan TNCP telah mengambil langkah menguruskan penyediaan makanan di semua kafetaria terlibat berdekatan kampus kediaman sebanyak dua kali sehari iaitu makanan tengah hari dan malam, selain turut menyediakan sarapan pagi berupa roti dan minuman kepada pelajar di kampus.

Di samping memastikan makanan adalah mencukupi, mereka turut bertindak sebagai ‘auditor’ makanan seperti memeriksa kualiti makanan yang disediakan agar sentiasa menepati kualiti yang ditetapkan.

Selain itu, pasukan TNCP juga telah mengambil inisiatif memastikan stok barangan di kedai serbaneka adalah lengkap dan memenuhi keperluan pelajar.

Mereka juga turut memantau harga barangan runcit agar kekal berpatutan dan sentiasa mematuhi jarak sosial yang ditetapkan dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19 di semua kedai serbaneka dalam sekitar kampus.

Sehingga ke harini ini stok barangan di kedai serbaneka UTM sering ditambah untuk memberi peluang kepada pelajar membeli dengan mudah tanpa sebarang kerisauan memandangkan pergerakan mereka terbatas untuk ke pasaraya lain yang lebih jauh.

Kemudahan lain yang sering diperlukan pelajar seperti mesin ATM juga berfungsi dengan baik dan akan sering dipantau oleh pihak yang terlibat untuk penyelenggaran segera semasa diperlukan.

Pasukan TNCP juga tidak terlepas dalam memastikan keadaan rakan seperjuangan seperti Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dan Pihak Bahagian Keselamatan adalah baik dengan kerap menyediakan makanan untuk mereka yang turut bertugas dengan gigih.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan TNCP dan semua pihak yang terlibat dengan cekap dalam memastikan pelajar tidak kelaparan dan sentiasa dalam keadaan yang selamat.

Jasa baik dan pergorbanan mereka pastinya memberi manfaat dan perlu dicontohi ramai.

Wakil UTM yang hadir bertugas termasuk ahli pasukan TNCP
Encik Jaffery dari pasukan TNCP sedang mengagihkan makanan kepada pelajar
Encik Mohairin dari pasukan TNCP sedang memeriksa barangan harian di Minimart Meranti, UTM
Mesin ATM yang kekal berfungsi untuk kemudahan pelajar

Explore More