April 26, 2024

Search
Close this search box.

Pemerkasaan Hari Kokurikulum Mingguan Bakal ‘Hidupkan’ Kampus dengan Pelbagai Aktiviti Pembangunan Pelajar

 Aktiviti Kokurikulum sama ada berkredit mahupun tidak berkredit merupakan penyumbang utama kepada Program Pembangunan Holistik (HSD) seperti yang didasarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) dan selari dengan Bidang Tumpuan Utama 1 (KFA1) UTM di bawah Pengalaman Kampus Transformatif (Transformative Campus Experience).

Program HSD boleh dibahagikan kepada sembilan kategori iaitu Kepimpinan, Keusahawanan & Pengurusan, Inovasi & Kreativiti, Khidmat Komuniti & Kesukarelawanan, Pengkayaan Akademik, Kerohanian & Kebudayaan, Sukan & Rekreasi dan Kaunseling & Pembangunan Kerjaya.

Hari kokurikulum mingguan telah digazetkan sejak sekian lama untuk memastikan agar pelajar mendapat manfaat untuk berehat daripada aktiviti akademik di pertengahan minggu. Sejak kelulusan tersebut, Hari Kokurikulum telah ditetapkan di UTM Johor Bahru adalah pada Hari Selasa dan di UTM Kuala Lumpur pada hari Rabu.

Namun begitu, terdapat tanggapan bahawa Hari Kokurikulum hanya untuk pelajar yang sedang mengambil kursus kokurikulum berkredit semata-mata.

Justeru, Hari Kokurikulum bakal diperkasakan dan digunakan sepenuhnya untuk memantapkan kemahiran generik, sahsiah dan keperibadian pelajar UTM menerusi pelbagai pendekatan secara bersinergi dan terancang.

Pengarah Pembangunan & Aktiviti Pelajar, Prof. Madya Dr. Azlan Abdul Latib dalam Sesi Taklimat Pemerkasaan Hari Kokurikulum Mingguan UTM yang berlangsung pada 29 Januari 2020 lalu berkata ia kekal ditetapkan pada Hari Selasa di UTM Johor Bahru dan hari Rabu di UTM Kuala Lumpur berkuatkuasa mulai Semester II, Sesi 2019/2020.

Waktu yang dikhaskan untuk Hari Kokurikulum Mingguan adalah mulai jam 2.00 pm – 11.00 pm setiap minggu.

Tambah beliau lagi, berdasarkan 2 tahun laporan KAI P3.3 iaitu peratusan pelajar yang terlibat dalam 3 aktiviti pembangunan pelajar jelas menunjukkan ianya jauh lebih rendah dari sasaran yang ditetapkan.

Setakat laporan pencapaian KAI Q3 2019, menunjukkan hanya separuh daripada jumlah pelajar UTM iaitu 18,553 pelajar sahaja yang telah dapat mengikuti sekurang-kurangnya 1 aktiviti manakala peratusan pelajar yang telah mencapai 3 aktiviti setahun hanyalah seramai 10,464 pelajar (49%) sahaja.

“Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) telah mensasarkan bilangan aktiviti setahun yang diperlukan untuk mencapai KPI ditetapkan adalah sekurang-kurangnya 2,250 bilangan aktiviti dengan purata 40 orang pelajar bagi setiap aktiviti berbanding pencapaian antara 600 sehingga 800 aktiviti setahun yang dilaksanakan oleh kelab, persatuan dan lain-lain PTJ di UTM,” ujarnya lagi.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus berpendapat pemerkasaan Hari Kokurikulum Mingguan ini bakal ‘menghidupkan’ kampus dengan pelbagai aktiviti pembangunan pelajar selain meningkatkan hubungan antara pelajar dan staf UTM.

Ia juga merupakan salah satu inisiatif untuk meningkatkan perekodan penyertaan pelajar dalam sistem UTMAcad (MyUTM) dan penilaian langsung terhadap aspek Patriotisme dan Perpaduan dan Sistem Transkrip Kokurikulum Pelajar.

“Ia bakal memberi peluang kepada semua staf akademik khususnya Penasihat Akademik agar terlibat aktif secara langsung dalam aktiviti pembangunan pelajar menerusi aktiviti kokurikulum yang dirancang secara berstruktur atau secara individu atau berpasukan.

Pelajar dapat menggunakan ruang waktu tersebut untuk berehat daripada aktiviti akademik dan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti kokurikulum di UTM,” tambah beliau lagi.

Prof. Madya Dr. Intan Zaurah Mat Darus dari Pejabat Pengajian Prasiswazah sangat menyokong usaha ini kerana banyak program pengajian masih menggunakan waktu pada hari Kokurikulum tersebut untuk tujuan kuliah, amali dan ujian.

Perkara ini menyebabkan pelajar tiada masa santai untuk melibatkan diri secara aktif dengan aktiviti pembangunan pelajar yang dianjurkan oleh mana-mana PTJ, Persatuan, kelab dan apa juga pertubuhan lain.

Prof. Madya Dr. Intan Zaurah Mat Darus menyatakan sokongan terhadap Pemerkasaan Hari Kokurikulum Mingguan UTM

Pelbagai bentuk aktiviti pembangunan pelajar bakal dilaksanakan secara terancang dan berstruktur secara individu atau berkumpulan.

Penggunaan kepakaran dan khidmat Penasihat Akademik secara tetap juga dijangka memantapkan lagi perjalanannya. Antara aktiviti terlibat ialah kelas kemahiran tambahan, kemahiran insaniah, pembinaan sahsiah, etika protokol, kemahiran komunikasi, ceramah, kolokium, forum dan seminar termasuk bidang akademik, kerjaya, keusahawanan, patriotism dan sebagainya.

Program berbentuk keagamaan seperti membudayakan Al-Quran dan kemahiran tentang kehidupan seperti memasak, membuat kuih, kemasan diri dan rumah, hiasan dalaman dan landskap, servis kenderaan, pertanian dan sebagainya juga bakal mewarnai hari Selasa UTM.

Bukan itu sahaja, aktiviti pembangunan pelajar bersama Penasihat akademik, debat dan pengucapan awam, lawatan sosial, sukan dan rekreasi, program khidmat komuniti, keceriaan dan gotong royong serta  pameran hasil projek inovasi dan rekacipta turut akan melengkapkan kemeriahan.

Explore More