April 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 1 Jan.  — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi menempa sejarah apabila menjadi universiti pertama mempunyai nombor plat kenderaan sendiri yang kini telah pun beroperasi di jalan raya.

UTM adalah antara Universiti Awam yang awal diberikan kebenaran oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk menjual nombor plat khas kenderaan dan menjadi Universiti Awam pertama di Malaysia yang telah menjual nombor pendaftaran khas.

Penjualan nombor pendaftaran khas ‘UTM’ secara bidaan di bida.utm.my adalah terbuka kepada umum dan merupakan inisiatif kerajaan Malaysia untuk membantu universiti dalam menjana dana untuk pembangunan institusi, aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta kebajikan mahasiswa.

Tempoh pendaftaran nombor plat khas ini yang berjaya dibida adalah selama satu tahun dari tarikh surat tawaran dikeluarkan dan wang bidaan akan dikembalikan kepada mana-mana pembida yang tidak berjaya dalam tempoh tujuh hari selepas bidaan ditutup.

Terbaharu, sesi kedua bidaan akan dibuka bermula 7 Januari 2020 sehingga 11 Januari 2020 dan menariknya, rebat 5% akan diberi kepada pembida yang berjaya dalam kalangan staf, pelajar, alumni dan pesara UTM.

Orang ramai yang berminat boleh melakukan bidaan di https://bida.utm.my.

SESI 2 – BIDAAN NOMBOR PENDAFTARAN KHAS “UTM”

Pengarah Endowmen UTM, Prof. Madya Dr. Yusof Boon berkata UTM yakin akan dapat menjana sumber kewangan yang dinamik menerusi jualan sebanyak 10,000 unit plat khas kenderaan universiti ini.

Sasaran tersebut diletakkan berdasarkan jumlah alumni universiti yang kini telah mencecah seramai 180,000 orang yang telah menempa nama dalam bidang masing-masing.

UTM telah diberi kebenaran untuk menjual nombor pendaftaran khas ‘UTM” untuk tempoh tiga tahun, iaitu mulai 1 November 2019 hingga 30 Oktober 2022.

Harga rizab bagi nombor pendaftaran khas ‘UTM’, (UTM1 – UTM9999) adalah antara RM1,000.00 sehingga RM200,000.00.

Menurut Dr. Yusof, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk menjual nombor pendaftaran berkenaan memandangkan UTM mempunyai alumni yang sudah berjaya di luar sana dan mereka adalah skop sasaran utama untuk membida nombor plat pendaftaran khas ini.

“Selain dari alumni, kakitangan, mahasiswa dan pesara juga berpotensi untuk membida nombor plat ini. Abjad UTM di plat pendaftaran khas ini juga dijangka menarik minat orang ramai untuk memilikinya,” kata beliau.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar bergambar kenangan di hadapan kenderaan rasmi Naib Canselor yang menggunakan No. Pendaftaran Khas UTM.

Antara kenderaan persendirian yang menggunakan nombor pendaftaran khas UTM yang dibida.

Explore More