April 26, 2024

Search
Close this search box.

Jerih-Perih di Palapes Pengalaman Paling Berharga Bentuk Jati Diri Sehingga Berjaya – Timbalan Komandan PALAPES UTM

Berkenalan dengan Timbalan Komandan PALAPES UTM

Bergelar Lt Kol Prof. Madya Dr. Mohd Noor Azli bin Hj. Ali Khan, beliau menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) semenjak 1995 semasa menyambung pengajian dalam program Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kesibukan menuntut ilmu serta cabaran semasa dalam latihan dihadapi dengan semangat waja sehingga beliau ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam majlis Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam ke-17 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor pada 16 Mei 1998.

Keterlibatan beliau dengan PALAPES semenjak belajar di UKM adalah dengan pangkat Sarjan. Beliau mula berkhidmat sebagai tutor di UTM pada tahun 1998 dan menjadi pegawai sukarela (SUK) di PALAPES UTM mulai tahun 2001.

Kini berpangkat Leftenan Kolonel dan merupakan Timbalan Komandan PALAPES UTM dan pengetua kolej kediaman, Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI), UTM Johor Bahru. Beliau tetap meneruskan khidmat dalam bidang ketenteraan di samping turut menjadi pensyarah perakaunan di Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS), UTM Johor Bahru dan mendidik anak-anak bangsa di UTM.

“Ketenteraan mengajar erti kepatuhan kepada pemimpin, berdisiplin, sentiasa bersedia dan tidak kenal erti putus asa. Pengalaman serta ilmu yang diperoleh sepanjang latihan membentuk jati diri dan membantu dalam kejayaan hidup saya.

Sesungguhnya pengalaman menganggotai PALAPES bukan hanya diaplikasikan semasa peringkat latihan sahaja namun merupakan ilmu yang amat berguna bagi pembelajaran sepanjang hayat.

Segala jerih-perih latihan sehingga berjaya ditauliahkan sebagai seorang pegawai adalah merupakan pengalaman paling berharga yang telah saya amalkan sehingga menjadi sebahagian daripada hidup saya,” kata beliau.

Explore More