Disember 14, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 29 Apr. — Kekurangan fizikal pada beliau bukanlah penghalang untuk mencipta detik bersejarah dalam kehidupan sebaliknya menjadi dorongan utama bagi mencapai kejayaan dalam hidup.

Bagi Ruzimi Mohamed@Mahmood, kejayaannya menggenggam ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Komputer telah menjadi sesuatu yang amat peribadi dalam kehidupannya.

“Saya dilahirkan sebagai OKU dan cacat di bahagian tangan kiri serta tidak mempunyai kedua belah kaki serta bergantung kepada kerusi roda sepenuhnya untuk menyokong pergerakan saya,” katanya.

Ruzimi berkata sedemikian ketika menghadiri sidang media sempena Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-62 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru bermula 29 April 2019 sehingga 30 April 2019.

Mengimbau kenangan zaman kanak-kanaknya, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini berkata dia pernah dituduh sebagai pencuri hanya kerana kecacatan pada tangan kirinya yang seakan kudung.

“Saya amat sedih ketika diejek sedemikian rupa tetapi sedar tidak mampu berbuat apa-apa secara fizikal bagi membetulkan keadaan itu.

“Tetapi dalam masa yang sama saya amat menyedari bahawa tindakan yang terbaik untuk membuktikan sebaliknya kepada mereka adalah dengan mempunyai jawatan penting dalam sesebuah organisasi atau dengan pendidikan,” katanya.

Menyedari hakikat berkenaan, Ruzimi mula berusaha keras untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran bagi memperbaiki keadaaan itu.

Menurutnya proses pembelajaran peringkat PhDnya adalah sangat mencabar disebabkan kesulitan pergerakan beliau yang akan memerlukan bantuan orang lain bagi sesi pertemuan dengan penyelianya.

Beliau amat berterima kasih kepada isteri yang menjadi sumber inspirasi kejayaan beliau.

Ruzimi juga menegaskan bahawa golongan OKU perlu untuk mempertingkatkan ilmu dan kemahiran supaya dapat menyumbang kepada negara sama seperti golongan normal yang lain.

“Pendidikan adalah ‘penentu taraf’ paling unggul pernah dicipta dalam sistem masyarakat kita dan sebagai golongan yang berpotensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara saya fikir adalah penting untuk golongan OKU untuk sama-sama ‘memeriahkan’ sektor pendidikan tinggi tempatan.

“Jangan sesekali menghadkan kemampuan diri anda sendiri hanya kerana anda adalah golongan OKU,” katanya lagi.

Ruzimi ketika menerima ijazah dari DYMM Canselor UTM ketika Majlis Konvokesyen UTM ke-62 bertempat di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru semalam.

Explore More