April 26, 2024

Search
Close this search box.

Sambutan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Negeri Johor 2019 telah disambut meriah dengan kehadiran kira-kira 700 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah, guru-guru, warga kerja Jabatan Kesihatan Negeri Johor, warga UTM dan orang awam telah menyertai program ini.

Program tersebut merupakan anjuran Pusat Kesihatan Universiti Teknologi Malaysia (PUTM) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan telah diadakan pada 13 hingga 14 April 2019 bertempat di UTM Kampus Johor Bahru.

Ianya telah disempurnakan perasmian penutupnya oleh Pengarah JKNJ, Dr Selahuddeen Abd. Aziz merangkap wakil rasmi Menteri Besar Johor, YAB Dr. Sahruddin Jamal.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM, Prof. Dr. Durrishah Idrus berkata program ini diadakan seiring dengan ‘Sambutan Hari Kesihatan Sedunia’ yang dianjurkan Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO).

“Bertemakan Liputan Kesihatan Sejagat : Setiap Orang Di Mana Sahaja dan Kesihatan Untuk Semua telah dipilih sebagai slogan untuk program ini.

“Melalui program ini, mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat ialah kepentingan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan individu, masyarakat dan negara serta semua anggota mempunyai peranan dalam memberi perkhidmatan kesihatan yang berkualiti,” katanya.

Antara aktiviti yang berlangsung pada 13 April 2019 hari penganjuran program ini adalah Thor Run, Sukan Rakyat dan Running Man yang dianjurkan secara bersama oleh Jawatankuasa Kolej Tun Hussein Onn.

Pada hari kedua (14 April 2019), pelbagai aktiviti telah berlangsung antaranya Pertandingan Senam Sihat dan Pertandingan Lompat Tali yang diadakan dengan kerjasama Persatuan Lompat Tali Negeri Johor.

Selain dari itu, Forum bertajuk “1000 Hari dalam Kehidupan” juga telah dianjurkan dengan membariskan panelis iaitu Prof. Madya Dr. Arief Salleh Rosman dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM Kampus Johor Bahru.

Turut menyertai sebagai panelis adalah Dr. Zahrita Bujang dari Klinik Kesihatan Taman Universiti, Pn. Nik Nor Masitah Nik Ismail dari Unit Pemakanan JKNJ serta Dr. Linayati Rosli juga dari JKNJ.

“Program Kempen Derma Darah Pra-Ramadhan juga turut berlangsung dengan kerjasama Majlis Kesihatan Universiti Awam Malaysia dan Jabatan Perubatan Transfusi- Hospital Sultanah Aminah, Johor,” katanya lagi.

Acara kemuncak program ini adalah Majlis Perasmian Sambutan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Negeri Johor 2019 yang dilancarkan oleh Pengarah JKNJ, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz.

Majlis ini juga menyaksikan Pelancaran Logo Majlis Kesihatan Universiti Awam Malaysia (MAKESUM).

Prof. Dr. Durrishah bersama Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz serta Ahli Jawatankuasa Penganjuran bergambar kenangan selepas pelancaran Hari Kesihatan Sedunia peringkat Negeri Johor 2019.
Para peserta dan pengunjung menderma darah dalam Program Kempen Derma Darah Pra-Ramadhan di Hari Kesihatan Sedunia Johor 2019.

 

 

Explore More