April 26, 2024

Search
Close this search box.

KUALA LUMPUR, 19 Feb.  — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus Kuala Lumpur telah melancarkan Inkubator i-Cube atau ‘i-Cube Incubator’ sebagai sebahagian dari usaha institusi itu untuk menjana pendapatannya sendiri.

Inkubator yang diletakkan di bawah seliaan Pusat Inovasi dan Komerlisasi (ICCUTM) itu terletak di Aras 2, Blok J3 iaitu bersebelahan dengan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi).

Timbalan Pengarah ICC, Prof. Madya Dr. Noor Azurati Ahmad@Salleh berkata bahawa usaha ini merupakan satu inisiatif dari pihaknya dalam memastikan penjanaan pendapatan dan pengkomersilan produk berterusan oleh penyelidik-penyelidik dari UTM.

“Penubuhan inkubator ini juga merupakan salah satu lonjakan idea dalam memastikan kesinambungan penyelidikan bersama industri dan juga salah satu inisiatif bagi memartabatkan nilai keusahawanan yang sesuai dengan tema semasa UTM,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran inkubator tersebut oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar dalam perhimpunan bulanan universiti itu yang berlangsung di Dewan Azman Hashim, kampus Kuala Lumpur.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut adalah Pro-Naib Canselor (kampus Kuala Lumpur), Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin dan juga Pendaftar UTM, Abdul Razib Hj. Shahuddin.

Dr. Noor Azurati berkata proses renovasi selama 5 bulan ke atas keseluruhan Aras 2, blok tersebut telah menelan belanja sebanyak RM200,000.00 sambil berharap usaha ini merupakan satu titik permulaan menambahbaik ekosistem penyelidikan, penjanaan pendapatan, inovasi dan pengkomersilan di UTM.

“Bersempena dengan pelancarannya, pihak ICCUTM telah membuka peluang kepada mana-mana syarikat berdaftar seperti syarikat hiliran UTM mahupun syarikat luar untuk menyewa ruang-ruang pejabat dan bilik yang disediakan di inkubator ini dengan pakej harga yang amat menarik dan berpatutan.

“Kami juga ada menyediakan ‘pejabat maya’ yang berupa peti surat sebanyak 40 unit yang boleh disewa dengan kadar RM200.00 setahun,” katanya lagi.

Sebanyak empat buah bilik pejabat ditawarkan untuk disewa dengan kadar RM800.00 sebulan bagi syarikat hiliran UTM dan juga RM850.00 bagi syarikat luar di samping 8 unit ruang pejabat dengan kadar sewaan sebanyak RM350.00 sebulan bagi syarikat hiliran UTM dan RM400.00 sebulan bagi syarikat luar.

“Konsep sewaan adalah berbentuk Sewaan Kontrak di mana penyewa diwajibkan untuk menandatangani perjanjian untuk menyewa dalam tempoh setahun.

“Kaedah ini bagi menjamin kelestarian kewangan yang berterusan di samping memelihara kepentingan kedua belah pihak,” katanya lagi.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir Dr Wahid Omar semasa perasmian

Ruangan pejabat di i-Cube Inkubator UTMKL yang boleh disewa dengan kadar RM350.00 hingga RM400.00 sebulan.
Pejabat Maya berbentuk peti surat yang boleh disewa dengan kadar serendah RM 200.oo hingga RM300.00 sebulan. Peti surat ini berfungsi sebagai pejabat maya yang boleh menerima surat-surat rasmi yang didaftarkan atas nama syarikat yang menyewanya.
Bahagian luar inkubator i-Cube yang bertempat di Aras 2, Blok J3 iaitu bersebelahan dengan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi).

Explore More