April 26, 2024

Search
Close this search box.

 

Barisan pelajar 5ETP bersama staf dan guru Sekolah Kebangsaan Sedeli Kecil

Pepatah Melayu menyebut kalau mendongak bintang di langit jangan dilupa rumput di bumi.

Lazimnya telah menjadi trend pelbagai persatuan/pertubuhan lebih memberi tumpuan melaksanakan kerja amal ke destinasi yang agak jauh dalam negeri atau  negeri lain.

Berbeza dengan pelajar-pelajar 5ETP Universiti Teknologi Malaysia yang kali ini menampilkan pendekatan berbeza melalui khidmat komuniti di Sekolah Kebangsaan Sedeli Kecil, Kota Tinggi baru-baru ini.

Sekolah Kebangsaan Sedili Kecil memiliki jumlah keseluruhan murid seramai 195 orang yang rata-rata merupakan anak nelayan di kawasan tersebut dan mempunyai seramai 15 orang guru.

Selain terkenal dengan sumber ekonomi dari hasil laut dan perikanan, Sedili juga mempunyai pantai-pantai peranginan dan pelancongan yang indah seperti Pantai Teluk Mahkota (Jason Bay), Pantai Temalah dan Pantai Sedili Kecil.

Antara fakta menarik lain mengenai Sedeli ialah ia merupakan tanah kelahiran Sasterawan Negara Allahyarham Dato’ Dr Usman Awang serta Allahyarhamah Rosiah Chik, penyanyi lagu asli negara yang terkenal. Maka tidak hairanlah gambar kedua-dua ikon ini terpampang megah di kawasan sekolah untuk mencetuskan inspirasi dalam kalangan pelajarnya.

Pengetua Sekolah Kebangsaan Sedeli Kecil, Mariyana Deraman dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran pasukan dari UTM dan berharap semua pelajar sekolah yang hadir mendapat sesuatu yang bermakna selain mencontohi abang-abang dan kakak-kakak ‘mereka’ melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi seterusnya menjadi warga yang berguna kepada negara dan masyarakat.

Seperti kebanyakan sekolah-sekolah pedalaman yang lain, kesedaran terhadap kepentingan dan kerja keras dalam pendidikan di kalangan anak-anak kecil merupakan isu besar yang perlu diberi perhatian.

“Kami juga berharap agar kunjungan seperti ini oleh UTM akan diteruskan untuk masa-masa yang akan datang” ujarnya lagi.

Mariyana Deraman (kiri) Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sedeli Kecil

Selain pelajar 5ETP, kerja amal ini juga disertai oleh seramai 8 orang staf Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTM yang diketuai oleh Timbalan Pendaftar Kanan, Hj. Dahari Derani.

Beliau yang turut bermandi peluh memotong rumput dan menceriakan Balai Raya Sedeli Kecil mengingatkan peserta agar hidup usah sombong dan bila sudah berjaya usah menongkat langit serta sentiasalah menjadi pemimpin yg baik untuk masa hadapan.

“Ðari awal lagi pelajar UTM ditanam dengan perasaan kasih sayang dan menghargai masyarakat sekeliling,” tambah beliau.

Timbalan Pendaftar Kanan HEP UTM, Hj. Dahari Derani turut terlibat memotong rumput dan membersih balai raya

Antara tugasan yang disiapkan oleh peserta ialah mengecat tangga dan dinding sekolah, membaiki kerusi dan meja, membaiki rak buku, memotong rumput dan melabel serta memperkemaskan semula susunatur bilik kemahiran hidup.

Selain itu pasukan ini juga berjaya ‘menghidupkan semula’ perpustakaan mini sekolah yang mengalami kebakaran kecil baru-baru ini bukan sahaja melalui kerja-kerja pemulihan mengindahkan alatan dan kelengkapan malah juga menyumbang hampir 250 buah buku bacaan baru dan lama.

Di samping kerja gotong royong, slot motivasi oleh pasukan khas yang diketuai oleh Rusydi Rahman bersama Yap Sin Yee, Maisarah Yuzlan, Jeevanathan, Izham Zuhairy dan Luqman Wafiy juga mendapat sambutan hangat bukan sahaja dari pelajar sekolah malah juga para ibu bapa yang hadir.

Sesi yang bermula pada 2.30 petang hingga 5:00 petang itu disertai oleh seramai 27 orang murid bertujuan untuk menyuntik keyakinan diri, meningkatkan motivasi dan melengkapkan diri baik dari segi emosi, fizikal dan juga mental dalam mencapai cita-cita mereka ke arah kejayaan yang cemerlang.

Selain itu beliau dan pasukan turut melaksanakan aktiviti-aktiviti menarik yang melibatkan pergerakan serta kemahiran berfikir kepada murid – murid.

Aksi Rusydi bersama anak-anak Sekolah Kebangsaan Sedeli Kecil

Pelajar Darjah 5, Nur Malisa Abdullah sangat gembira menyertai aktiviti sepanjang program bersama rakan-rakan terutamanya ketika aktiviti membuat bangunan yang memerlukan kemahiran berfikir dan berkolaborasi.

Salah seorang ibu yang hadir, Ruzita Miswan pula berpendapat program seperti ini jarang-jarang diadakan di sekolah ini dan yakin anak-anak mampu lebih berani dan berfikir lebih jauh ke hadapan pada masa akan datang. “Moga ia mampu memberi inspirasi kepada anak-anak kami untuk melanjutkan pengajian ke menara gading,” sambungnya lagi. Pendapat sama dikongsi oleh Saedah Shariff yang percaya banyak nilai nilai murni dapat diterapkan selain kemahiran berkomunikasi dalam kalangan anak-anak.

Selain berbakti di sekolah, pelajar-pelajar teras Teknohafiz juga terlibat dalam program mengimarahkan masjid hasil kerjasama dengan Masjid Al-Kauthar, Sedeli Kecil. Syamil Rosli salah seorang imam muda yang menerima pentauliahan imam oleh Majlis Agama Islam Johor baru-baru ini mengimamkan solat subuh berjemaah manakala rakannya Nik Mohamad Aiman Ibrahim menyampaikan kuliah subuh bertajuk ‘Istiqamah’.

Nik Mohamad Aiman menyampaikan kuliah subuh bertajuk Istiqamah di Masjid Al Kauthar

Pada hari terakhir program, kesemua pelajar dan staf  bergotong-royong membersihkan bahan terbuang untuk tujuan pantai yang lebih bersih dan hidupan marin bebas dari kekotoran dan pencemaran.

Pantai Sedeli Kecil merupakan satu destinasi riadah yang tidak kurang popular dan menjadi lokasi kegemaran untuk melakukan aktiviti keluarga pada hujung minggu seperti berkelah, berkhemah, menaiki bot dan pelbagai aktiviti rekreasi lain.

Namun apa yang menyedihkan, sampah terutamanya penyedut minuman, botol kaca dan plastik, pembungkus makanan, sudu, garfu dan pelbagai jenis buangan lain dibuang merata tempat di kawasan pantai.

Sepanjang aktiviti pembersihan pantai ini, para peserta telah mengutip lebih 15 beg sampah dengan berat hampir 100 kg.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM, Prof. Dr. Durrishah Idrus dalam sesi perkongsian bersama peserta yang bertajuk ‘Optimising Opportunities as Excellent Track Members@UTM’ menekankan betapa pentingnya ahli-ahli 5ETP untuk mengoptimakan setiap peluang untuk meningkatkan diri sepanjang berada di UTM.

Terdapat banyak program dan aktiviti yang boleh mereka pimpin dan sertai yang boleh memberi impak kepada diri, UTM dan masyarakat keseluruhannya.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga kepada semua atas pelbagai aktiviti berjaya dilaksanakan sepanjang tempoh 3 hari ini dalam usaha pembentukan diri menjadi insan berbakti, insan hebat sesama manusia dan terhadap alam selain memberi cabaran kepada 5ETP untuk kembali semula berkongsi ilmu bersama anak-anak di sini, bercerita dan memupuk minat mereka terhadap sains, matematik serta Bahasa Inggeris.

Prof. Dr. Durrishah Idrus dalam slot bertajuk ‘Optimising Opportunities as Excellent Track Members@UTM’

Program 5ETP merupakan program khas UTM bermula pada tahun 2011 hasil ilham Naib Canselor ketika itu, Prof. Dato Seri Ir. Dr. Zaini Ujang untuk meluaskan peluang pelajar-pelajar terpilih menggilap potensi mereka dalam 5 bidang teras iaitu Kepimpinan Global, Teknousahawanan, Kecemerlangan Sukan, Minda Nobel dan Teknohafiz.

Pelajar-pelajar 5ETP dipilih melalui proses-proses penilaian oleh panel bebas dan mereka dilatih untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti mengikut minat dan kelebihan masing-masing dalam melonjakkan nama UTM di persada dunia.

Explore More