April 24, 2024

Search
Close this search box.

Majlis Penanaman Kapsul Masa UTM-TECHS Gamit Nostalgia UTM Kuala Lumpur

Hadirin bergambar bersama Kapsul Masa UTM-Techs yang telah ditanam
Antara kumpulan alumni yang hadir pada majlis tersebut

KUALA LUMPUR, 12 Feb — Tarikh hari ini merupakan detik yang bersejarah buat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) apabila kumpulan Special Interest Group (SIG) yang menamakan diri mereka sebagai SIG UTM – Senior Techs telah kembali ke gagang iaitu di tapak asal Maktab Teknik Kuala Lumpur, Jalan Gurney yang merupakan kampus UTM Kuala Lumpur pada hari ini.

Simbolik kepada tarikh tersebut, satu aktiviti penanaman kapsul masa yang dipanggil UTM-TECHS telah diadakan di lobi Menara Razak, UTM kampus Kuala Lumpur.

Penanaman kapsul tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTM, Tan Sri Abdul Halim bin Ali dan Presiden Persatuan Alumni UTM, YBhg. Tan Sri (Dr) Ir. Jamilus bin Hussein dalam majlis yang dihadiri oleh kira-kira 300 orang alumni UTM.

Antara dokumen yang diletak di dalam kapsul masa tersebut ialah sebuah buku memoir bertajuk The Techs – Remembering The Golden Era – Technical College Kuala Lumpur 1940-1970 yang dihasilkan oleh SIG ini.

Buku setebal 280 mukasurat ini adalah hasil usaha mendiang Ng Chau Chen (Graduan sivil 1965) yang telah berusaha mengumpulkan semua bahan daripada rakan-rakan beliau.

Usaha ini hanya sempat dilakukannya sehingga mukasurat 117 dan kemudian telah disambung oleh anak beliau Mr. Danny dengan sokongan  Mr Tan Chai Tiam.

Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk merealisasikan hasrat bersama UTM dan SIG UTM-Senior Techs bagi menyimpan buku memoir The Techs serta tiga lagi buku atau majalah terbitan di era Maktab Teknik iaitu Annual TECHS, Engineering Journal dan Techs Mirror.

Bahan-bahan ini diharap akan dapat menjadi  tatapan generasi akan datang.

Majlis ini juga diadakan untuk menghargai Alumni UTM-TECHS secara keseluruhannya yang telah memberi sumbangan secara langsung mahupun tidak langsung dalam banyak projek pembangunan dan pembinaan dalam negara kerana kesemua mereka telah berkhidmat dalam sektor kerajaan dan swasta.

Alumni UTM-TECHS merupakan insan terpilih yang memasuki Maktab Teknik Kuala Lumpur dalam pelbagai bidang utama kejuruteraan.

Mereka banyak terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam projek pembangunan dan pembinaan pelbagai bangunan kerajaan seperti sekolah, kem tentera, lapangan terbang, pelabuhan, jambatan, empangan takungan air dan sebagainya seperti pembinaan Stadium Bukit Jalil, Lebuhraya Karak, Projek Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Timur-Barat, projek Kuala Lumpur International Airport.

Mereka telah memegang pelbagai jawatan penting sama ada dalam sektor kerajaan terutamanya Jabatan Kerja Raya atau swasta seperti IJM Corporation Group.

Explore More