Disember 22, 2024

KUALA LUMPUR, 29 Nov. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) bakal membuka satu dimensi baru apabila sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangan bagi mewujudkan kerjasama penyelidikan antara dua agensi, di sini, hari ini.

Penyelaras Penyelidikan bagi UTM-JMG, Prof. Dr. Edy Tonnizam bin Mohamad berkata, persefahaman ini merupakan penghormatan kepada UTM dan juga pengiktirafan kepada kepakaran Pusat Kejuruteraan Geotropika secara khasnya.

Melalui memorandum ini, UTM melalui Pusat Kejuruteraan Geotropika, Sekolah Kejuruteraan Awam akan bekerjasama dengan JMG dalam beberapa bidang kajian berkaitan Kejuruteraan Geotropika.

“Pusat Kejuruteraan Geotropik UTM akan membantu JMG dari segi penyelidikan dan juga akademik dalam beberapa sub-bidang tertentu seperti Profil Luluhawa di kawasan tropika, Geo-Kejuruteraan Tropika, Geo-Mekanik akibat Gempa bumi dan juga pertukaran mahasiswa-staf antara dua agensi.

Ini termasuklah penghantaran kakitangan JMG untuk menjalani latihan serta menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana dan juga ijazah doktor falsafah (PhD). Mahasiswa UTM terutamanya peringkat pasca-siswazah juga boleh dihantar untuk menjalankan penyelidikan masing-masing di JMG,” katanya.

Selain daripada kajian berbentuk teori dan kesarjanaan, UTM juga akan diminta untuk membantu JMG dalam kajian gempabumi (Geoteknik) dan juga bidang Batuan berair (Stone Akuifer).

Kedua-dua bidang ini adalah bidang Kejuruteraan Geotropika yang sememangnya dimiliki oleh UTM,” katanya.

Majlis menandatangani MoU ini diadakan bersempena dengan Majlis ‘National Conference and Exhibition on Mineral Resource and Mineral-Based Product Development’ yang turut dihadiri oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, YB Xavier Jayakumar.

UTM diwakili oleh Pro-Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur), Prof. Dr. Samsul Sahibuddin manakala JMG pula diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Shahar Effendi Abdullah Azizi di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Ketua Pengarah (Korporat dan Ekonomi Mineral) JMG, Kamal Daril.

Pro-Naib Canselor (kampus Kuala Lumpur), Prof. Dr. Prof. Dr. Samsul Sahibuddin (hadapan kanan) bersalaman dengan Ketua Pengarah JMG Malaysia, Datuk Shahar Effendi Abdullah Azizi selepas menandatangani MoU antara UTM-JMG di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.
Majlis menandatangani MoU antara UTM-JMG Malaysia diadakan sempena Persidangan ‘ National Conference and Exhibition on Mineral Resource and Mineral-Based Product Development yang turut dihadiri oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Semulajadi Malaysia, YB Xavier Jayakumar (lima kanan).

Explore More