April 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 28 Nov. – Nalisha Nair a/p Subash telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor dalam Majlis Anugerah Gemilang 2018 atau GEMA’18 anjuran Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Majlis telah berlangsung di Dewan Kencanaputri, Pulai Springs Resort, Johor Bahru dengan dihadiri oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar sebagai tetamu utama.

Nalisha Nair ialah mahasiswa tahun dua kursus Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Proses Kimia di Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), UTM Kuala Lumpur.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus berkata Nalisha Nair merupakan seorang mahasiswa yang cemerlang dalam pengajian dan juga aktiviti ko-kurikulumnya.

“Beliau adalah Pengarah Malaysia Book of Records bagi program Aspiration of Merdeka@Trans-Aronia yang dianjurkan oleh Special Interest Group, UTM Kuala Lumpur pada 27 Julai 2018 hingga 30 Ogos 2018 bertempat di sekitar benua Asia dan Eropah.

Usaha beliau menganjurkan program ini merupakan satu komitmen yang jitu dalam usaha meningkatkan semangat patriotisme, nasionalisme dan perasaan cinta yang mendalam terhadap tanah air di kalangan masyarakat Malaysia melalui deklamasi sajak dan berpantun,” katanya.

Dengan penyertaan seramai 20,000 orang dalam program tersebut, ia telah diiktiraf dalam Malaysia Books of Record dan ini telah menaikkan nama UTM dan negara.

Program GEMA ’18 dianjurkan oleh Pejabat HEP bagi mengiktiraf sumbangan para mahasiswa dalam semua lapangan bagi tahun 2017 dan 2018.

GEMA yang telah memasuki tahun kelima penganjurannya ini dianjurkan khas bagi mengiktiraf kejayaan individu dan juga Badan Pelajar dalam pengurusan organisasi dan pelaksanaan program/aktiviti pelajar sama ada di peringkat Universiti/Kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Sebanyak 22 anugerah dipertandingkan dan terbuka kepada semua mahasiswa sepenuh masa UTM peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana.

Penilaian anugerah mengambilkira dua program terbaik yang dianjurkan dari 1 September 2017 hingga 31 Ogos 2018,” tambah beliau.

Pemenang individu bagi setiap anugerah juga berpeluang merebut hadiah utama iaitu Anugerah Naib Canselor.

Turut hadir adalah Pro-Naib Canselor (Strategi), Prof. Dr. Shahrin Mohammad dan juga Pemangku Pendaftar, Abdul Razib Hj. Shahuddin.

Nalisha Nair (dua kiri) sewaktu menerima Anugerah Naib Canselor dari Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar (paling kiri) sambil diapit oleh TNC (HEP), Prof. Dr. Durrishah Idrus dan juga Pro-Naib Caselor UTM, Prof. Dr. Shahrin Mohammad di Program GEMA’18 yang berlangsung di Pulai Springs Resort, Johor Bahru.

Explore More