Disember 22, 2024

JOHOR BAHRU, 10 Dis. – Seramai 1800 orang mahasiswa telah mendapat faedah melalui Program Bantuan Makanan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang diperkenalkan sejak tahun 2016.

Dana yang digunakan untuk membiayai program ini adalah daripada tabung amanah ‘Because We Care Chancellor’s Fund’ yang dilancarkan pada tahun yang sama.

Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Kemudahan, Kebajikan dan Tatatertib Pelajar, Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP), Norsita Zakirai berkata penubuhan tabung amanah ini telah diilhamkan oleh Canselor UTM, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.

Menurutnya lagi, pada peringkat awal penubuhannya, tabung ini telah berjaya mencapai kutipan sebanyak RM1.6 juta dan diletakkan di bawah Lembaga Amanah yang dipengerusikan oleh Naib Canselor.

“Kami menggalakkan kakitangan UTM untuk menyumbang kepada tabung ini melalui potongan gaji bulanan yang boleh dibuat melalui Pejabat Bendahari,” katanya.

Menurutnya bagi sesi 2016-2017, mahasiswa yang ingin memohon dikehendaki mengisi borang yang boleh diperolehi dari pejabat HEP secara manual sebelum dipanggil untuk sesi temuduga sebagai sebahagian daripada proses saringan.

“Secara amnya, keutamaan akan diberikan kepada mahasiswa yang berasal dari keluarga yang berpendapatan bawah RM3,000.00 sebulan dan juga taraf penajaan pengajian pelajar berkenaan di UTM.

“Sekiranya pelajar tersebut mendapat tajaan pengajian dari mana-mana penganjur maka permohonan akan dipertimbangkan semula. Peminjam yang menerima pinjaman dari Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak dikira sebagai penerima tajaan dan layak memohon,” katanya.

Ini adalah disebabkan PTPTN adalah pinjaman dan perlu dibayar kembali selepas selesai pengajian berbeza dengan penajaan pengajian seperti biasiswa yang tidak memerlukan peminjam membuat bayaran semula.

Menghuraikan mengenai bentuk bantuan yang diberikan, Norsita berkata terdapat dua kupon yang berbeza nilai diberikan kepada mahasiswa untuk tempoh tiga bulan.

“Mana-mana mahasiswa yang layak akan menerima dua bentuk kupon bernilai RM 1.00 dan RM5.00 serta senarai kafeteria dalam kampus yang menyertai skim ini.

Kupon yang diberikan adalah cukup untuk tiga bulan dengan purata dua kali makan sehari, ” katanya lagi.

Kafeteria yang terlibat akan menerima kupon ini sebagai tukaran kepada makanan kepada mahasiswa dan setiap kupon yang telah dikumpulkan boleh ditebus kembali dalam bentuk wang tunai kepada Pejabat HEP.

Norsita Zakirai (kiri) dan kakitangannya menunjukkan buku kupon bantuan makanan mahasiwa yang dibiayai oleh tabung ‘Because We Care’ UTM. Kertas putih yang ditunjukkan pula mengandungi senarai kafeteria dalam kampus yang menyertai skim ini.

Explore More