JOHOR BAHRU, 7 Ogos 2018 – Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan program tahunan iaitu ‘Iskandar Learning Festival’ 2018 (ILF2018)
Program yang berlangsung dari 2hb hingga 16hb Ogos 2018 telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Johor, YB Tuan Haji Aminolhuda Hj. Hassan.
Objektif utama program ILF2018 ini adalah untuk mempromosikan pembelajaran sepanjang hayat bertaraf antarabangsa kepada komuniti secara percuma.
Bersempena dengan program ILF2018 ini, IRDA dan Fakulti Sains UTM dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) telah menganjurkan program ‘STEM’ (Science, Technology, Engineering & Mathematics) Day bertempat di Sutera Mall, Johor Bahru.
Penyelaras Program, Dr. Nor Ain Hussein berkata ‘STEM Day’ ini adalah untuk mempromosi dan memperkasakan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik di negeri Johor melalui pelbagai aktiviti seperti pameran, pertandingan, demonstrasi, permainan, ceramah, forum dan bengkel yang sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat terutamanya para pelajar, pendidik dan ibu bapa.
“Program ini turut bertujuan untuk menarik minat pelajar terhadap STEM dan mendedahkan kepada mereka tentang hala tuju bidang ini, selain daripada meningkatkan kemahiran guru dalam pengajaran subjek berkaitan STEM,” katanya lagi.
Turut bekerjasama ialah UniKL MITEC Pasir Gudang, Johor, UiTM Pasir Gudang, Johor, MyLibrary Sutera Mall, Telaga Biru Education dan Centre for Engineering Education UTM serta Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN).
Turut hadir adalah Dekan Fakulti Sains, Prof. Dr. Abdull Rahim Yusoff.