Disember 27, 2024

Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Kedah ke pertandingan akhir NSC 2018

JOHOR BAHRU, 15 Ogos 2018 – Sebanyak empat buah sekolah dari Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Kedah telah terpilih untuk mewakili negeri masing-masing dalam pertandingan peringkat akhir ‘National Science Challenge’ (NSC) 2018 yang bakal berlangsung pada bulan Ogos 2018.
Sekolah-sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George 5 dari Negeri Sembilan, Kolej Yayasan Saad (Melaka), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Razak (Pahang) dan Kumpulan Gabungan Empat Sekolah, Wild Cat Team dari Kedah.
Pengarah NSC 2018, Prof. Madya Dr. Mohd Hafiz Dzarfan Othman berkata pemilihan sekolah-sekolah berkenaan telah dibuat sewaktu pertandingan NSC 2018 peringkat separuh akhir yang berlangsung di Dewan Perdana, Kolej Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru.
“Pertandingan peringkat separuh akhir telah diadakan di UTM Johor Bahru bermula 9-15 Ogos 2018 dimana sebanyak 16 pasukan telah mewakili setiap negeri.
“Mereka telah disediakan dengan cabaran baharu yang memerlukan peserta menggunakan pemikiran kritis dan inovatif bagi menyelesaikan masalah saintifik yang dikemukakan oleh pihak penganjur pertandingan,” katanya.
NSC 2018 dianjurkan oleh Akademi Sains Malaysia, Majlis Amanah Rakyat (MARA), ExxonMobil dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia.
Pertandingan ini adalah dibuka kepada pelajar tingkatan empat dari seluruh Malaysia bagi meningkatkan minat pelajar secara berterusan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) melalui pendedahan terhadap perkembangan semasa dan pengalaman pembelajaran sains yang interaktif.
“Ini kerana negara memerlukan seramai mungkin bakat STEM bagi menjayakan aspirasi pembangunan negara yang ditujahkan oleh penemuan sains, teknologi dan inovasi.
“NSC juga bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan minat golongan pelajar terhadap sains melalui pembelajaran berbentuk eksplorasi yang interaktif. Selain itu, pengetahuan pelajar berkenaan yang berkaitan dengan penemuan terbaharu sains, teknologi dan inovasi global juga akan diuji,” katanya.
Majlis penutup NSC 2018 peringkat separuh akhir telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail.
NSC peringkat akhir akan di adakan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 30 Ogos 2018 dan pemenangnya akan menerima hadiah lawatan ke Stockholm, Sweden bagi menghadiri upacara berprestij penyampaian Hadiah Nobel.

Prof. Fauzi (dua kiri) sedang beramah mesra dengan wakil pemenang peringkat separuh akhir dari Negeri Melaka

Explore More