April 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 10 Julai 2018 – Institut Inovasi Strategik Johor (IISJ) telah diumumkan sebagai pemenang Anugerah Inovasi Naib Canselor (AINC) dalam Majlis Citra Karisma 2018 pagi tadi.

Pengumuman itu dibuat dalam program yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar (DSI) kampus Johor Bahru oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman.

Selain AINC, Fakulti Pendidikan (kini dikenali sebagai Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan) juga mencatat rekod menarik apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Inovasi Perkhidmatan melalui Sistem Pengurusan Projek (ePROJECT) yang dibangunkannya.

Ekoran kemenangan ini, IISJ telah diberikan wang hadiah sebanyak RM 12,000.00, piala pusingan dan juga trofi manakala Sekolah Pendidikan membawa pulang wang tunai RM 3,000.00, Piala Pusingan dan juga Sijil Penghargaan.

Selain AINC dan Anugerah Inovasi Perkhidmatan, Citra Karisma 2018 juga turut mempertandingkan 17 anugerah lain seperti Anugerah Tokoh Penyelidik, Anugerah Pentadbir, Anugerah Kualiti, Anugerah Teknologi Maklumat, Anugerah Penjenamaan dan Anugerah Penerbitan.

Turut juga dipertandingkan adalah Anugerah dan Pengkomersilan Produk, Anugerah Penyelidikan, Anugerah Pengajaran, Anugerah Perundingan, Anugerah Penasihat Akademik, Anugerah Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Selain itu, anugerah yang dipertandingkan adalah Anugerah Seni dan Kreativiti, Anugerah Sukan, Anugerah Keterlibatan Industri, Anugerah Khidmat Masyarakat di samping mengekalkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Citra Karisma mula dilaksanakan pada tahun 2010 di UTM bagi menggantikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dengan matlamat utamanya untuk memperluaskan lagi instrumen penghargaan kepada kecemerlangan yang ditunjukkan oleh staf universiti itu.

Kesemua penerima telah menerima anugerah masing-masing dari Ahli Lembaga Pengarah Universiti, YB Dato’ Haji Ismail Karim. Turut hadir adalah Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan juga Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman.

IISJ telah ditubuhkan pada 2016 adalah perkongsian antara UTM dan beberapa institusi pengajian tinggi negeri Johor serta kerajaan negeri dengan matlamat utamanya untuk melonjakkan negeri selatan tanahair ini sebagai Lembah Inovasi Berkepentingan Global.

YB Dato’ Haji Ismail Karim menyerahkan sijil perkhidmatan cemerlang kepada salah seorang penerima di Citra Karisma 2018

Explore More