April 26, 2024

Search
Close this search box.

Kolokium Penyelidikan Dalam Pendidikan 2018 Antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universitas Negeri Makassar (UNM) Indonesia

Hubungan akrab antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universitas Negeri Makassar (UNM) Indonesia yang sudah lama terjalin sebelum ini diperkukuhkan lagi dengan penganjuran Kolokium Penyelidikan Dalam Pendidikan 2018 UTM-UNM yang berlangsung di Fakulti Pendidikan UTM pada 5 April 2018 yang lalu. Delegasi UNM ke Fakulti Pendidikan terdiri daripada 33 orang peserta dan diketuai oleh Timbalan Rektor Universitas Negeri Makassar, Prof. Dr. Gufran Darma Dirawan, pensyarah dan mahasiswa. Majlis perasmian disempurnakan oleh YBhg. Dekan Fakulti Pendidikan, Professor Dr. Muhammad Sukri Saud. Kolokium ini merupakan penganjuran kali kedua oleh kedua-dua buah institusi yang mana penganjuran kali pertama diadakan pada tahun 2016.

Kolokium Penyelidikan Dalam Pendidikan 2018 antara UTM dan UNM

Kolokium pada tahun ini melibatkan seramai 31 pembentang yang terdiri daripada pensyarah, mahasiswa sarjana dan doktor falsafah dari kedua-dua buah universiti. Kolokium ini menjadi platform kepada pelajar untuk membentangkan hasil kajian yang merangkumi pelbagai topik khususnya dalam bidang pendidikan. Selain pembentangan, sebuah prosiding (dengan nombor ISBN oleh Perpustakaan Negara Malaysia) yang memuatkan kesemua kertas kerja kolokium juga berjaya disediakan hasil kerjasama staf akademik dan bukan akademik Fakulti Pendidikan UTM.

Peserta Kolokium Penyelidikan Dalam Pendidikan 2018 antara UTM dan UNMPenganjuran kolokium ini selari dengan bidang tujahan utama yang ke-6 dalam Pelan Global UTM 2012-2020 (Fasa III: 2018-2020) iaitu meningkatkan keternampakan universiti di peringkat global sebagai sebuah jenama dalam bidang Sains, Teknologi dan Kejuruteraan. Untuk menjayakannya, penganjuran kolokium antara UTM dan UNM ini bersesuaian dengan inisiatif yang dicadangkan dalam PGU III iaitu untuk KFA 6 ini iaitu menganjurkan atau mengambil bahagian secara aktif dalam seminar atau persidangan antarabangsa untuk meningkatkan reputasi global dan memperluas pengantarabangsaan strategik dan penglibatan global.

Peserta Kolokium Penyelidikan Dalam Pendidikan 2018 antara UTM dan UNM

 

Explore More