November 25, 2024

Search
Close this search box.

Mahasiswa UTM sertai Robotic & Design Thinking di Petrosains

Kuala Lumpur, 19 Mac 2018 –  Seramai 15 orang mahasiswa Universiti teknologi Malaysia (UTM) telah menyertai program ‘Robotic & Design Thinking’ Bootcamp Train the Trainer yang diadakan dengan kerjasama antara Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej Tuanku Canselor (KTC), UTM XCITE dan Petrosains  di Suria KLCC pada 30 Januari dan 7 Februari lalu.

Peserta program dikehendaki berkhemah di Suria KLCC sepanjang program yang bertujuan memberi pendedahan awal kepada generasi muda, khususnya mahasiswa mengenai ‘Industrial Revolution 4.0’ yang bakal membawa perubahan pada peringkat global dalam bidang industri.

Selain itu, aktiviti berkenaan adalah untuk meningkatkan kemahiran generik iaitu kepimpinan, kerja berkumpulan dan penyelesaian masalah.

Program yang bertemakan Robotics & Design Thinking itu diadakan bagi membantu mahasiswa menjana idea untuk mencipta sesuatu yang kreatif dan dapat membantu komuniti bukan sahaja dalam universiti bahkan di seluruh Malaysia.

Dalam masa yang sama, peserta dilatih untuk mengggunakan perisian Arduino Intergrated Development Environment (IDE) dan Mblock yang sering digunakan dalam sesi pembelajaran dan pengajaran.

Program itu dijalankan dalam dua sesi. Pada sesi pertama Timbalan Pengarah (Inovasi) UTM Xcite Dr Afnizanfaizal Abdullah yang juga  pensyarah kanan Fakulti Komputeran menjadi tetamu khas untuk memberi penjelasan berkaitan  ‘Design Thinking’ dan fungsi-fungsinya.

Pendekatan yang amat menarik telah digunakan dalam sesi berkenaan memerlukan peserta mencari penyelesaian bagi permasalahan yang berlaku di sekeliling mereka.

Mereka turut diberi tugasan untuk mengenal pasti masalah daripada pemerhatian yang mereka lakukan di kawasan sekita air pancur Suria KLCC dan seterusnya mencari penyelesaian dengan menghasilkan prototaip produk.

Bagi memastikan prototaip tersebut dapat menyelesaikan masalah yang dikenalpasti peserta perlu menguji keberkesanan dan kejituan prototaip berkenaan.

Para peserta ditekankan untuk memahami konsep penting dalam design thinking iaitu “in design thinking there is no wrong but only fails”.

Dalam sesi kedua, pensyarah kanan dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik, UTM Skudai, Dr Fauzan Khairi Che Harun dijemput untuk memberikan penerangan mengenai robot dan fungsinya.

Para peserta kemudianya dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan terdiri daripada tiga orang pelajar dari.

Setiap kumpulan diberit satu kit untuk membina sebuah robot kecil. Selain itu, para peserta juga dilatih menggunakan dua kaedah sistem pengekodan iaitu Arduino IDE & mBlock Programmming dalam memprogramkan robot.

Para pelajar mengaplikasikan kedua-dua sistem pengekodan tersebut terhadap robot yang telah dibina sebelum mengujinya di litar.

Pertandingan ringkas juga telah diadakan antara kumpulan. Dua kategori pertandingan telah diadakan, iaitu Robo Tracer dan Maze Runner.

Bagi kedua-dua sesi berkenaan, peserta dilatih dengan kemahiran berkomunikasi yang dikendalikan oleh fasilitator dari Petrosains.

Mereka diberi tunjuk ajar mendekatkan diri dengan orang awam, menerangkan perbezaan kaedah dalam mendekatkan diri dengan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah serta mempelajari teknik untuk berinteraksi secara lancar dan yakin dengan pihak luar.

Program itu sekaligus memberi kesan yang amat positif kepada mahasiswa khususnya mahasiswa UTM, selaras dengan hasrat UTM untuk pembentukan mahasiswa bersifat holistik.

Selain itu, mahasiswa juga mendapat kesan positif seperti:

  • Peka terhadap perkembangan industri terutama berkenaan dengan “Industrial Revolution 4.0”
  • Meningkatkan kemahiran mahasiswa dalam menghasilkan idea kreatif yang dapat menyelesaikan sesuatu masalah
  • Melahirkan generasi baru yang peka terhadap kepentingan penggunaan robot dalam perkembangan industri kini
  • Mahasisawa dapat berkomunikasi dengan lancar apabila bersama orang awam.

Explore More