April 26, 2024

Search
Close this search box.

UTM dan Universiti Newcastle Bangun Sistem Airsisa Individu

JOHOR BAHRU, 28 November 2017 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Newcastle, United Kingdom bekerjasama menjalankan penyelidikan bagi membangunkan sistem rawatan airsisa perumahan yang efektif dengan kos yang rendah  di kawasan yang tidak mempunyai sistem pembentungan.

Prof. Wahid dan Prof. Chirs menandatangani dokumen perjanjain di NUMed, Nusajaya.

Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir Omar berkata, penyelidikan berkenaan bertujuan mempertingkatkan kesihatan komuniti di Malaysia, khususnya yang terhadap penduduk yang menggunakan rawatan air sisa individu.

Menurutnya, projek berkenaan berjaya mendapat geran penyelidikan dari Newton Fund dari United Kingdom berjumlah RM450 ribu yang memberi peruntukan kepada program penyelidikan yang berasaskan kepada sains dan inovasi.

“Dana berkenaan ditubuhkan pada tahun 2014 bertujuan mempromosi pembangunan ekonomi dan kebajikan sosial di 15 buah negara rakan United Kingdom,” katanya.

Bagi mengukuhkan kerjasama penyelidikan antara UTM dan Universiti Newcastle, Profesor Dr Wahid dan rakan sejawatnya dari United Kingdom, Profesor Dr Chris Day menandatangani memorandum persefahaman bertempat di Newcastle University Medicine Malaysia (NUMed) Iskandar Puteri, petang semalam.

Turut hadir Provos dan Ketua Pegawai Eksekutif NUMed, Prof. Roger Barton dan Pengarah Centre of Environment Sustainability and Water Security (IPASA) UTM, Prof. Dr. Azmi Aris.

Profesor Wahid berkata, keselamatan air adalah isu penting di dalam dan luar negara dan seperti yang kita ketahui, ia adalah sebahagian daripada Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-SDG) yang perlu dicapai menjelang 2030.

“Sebagai Universiti Penyelidikan di Malaysia, UTM, melalui IPASA komited untuk mencapai matlamat berkenaan, terutama dalam menyediakan air bersih dan selamat kepada masyarakat secara keseluruhan.

“UTM juga telah menyediakan perkhidmatan penyelidikan dan perundingan kepada negara dan negara jiran dalam pelbagai bidang keselamatan air yang melibatkan pengurusan sumber air, pengurusan banjir, dan bekalan air dan sanitasi.

“Kebanyakan kerja telah dijalankan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan swasta dan dengan universiti-universiti lain di dalam dan luar negara,” katanya.

Baru-baru ini, UTM dan Kerajaan Negeri Johor telah dalam menjalankan Forum Pemimpin Air yang meneliti isu keselamatan air di Johor.

Beliau berkata, bagi meneruskan kajian dalam bidang berkenaan, UTM dan Universiti Newcastle telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan geran antarabangsa yang dikenali sebagai Global Challenges Research Fund (GCRF) di bawah topik sekuriti air.

“Geran yang dibiayai oleh kerajaan United Kingdom itu bertujuan membantu menyelesaikan permasalahan alam sekitar di negara sedang membangun, termasuk keselamatan air.

“Sekiranya diluluskan, UTM dan Universiti Newcastle akan menggunakan geran berkenaan bagi mengatasi permasalahan sekuriti air di negara ini yang didapati semakin terancam akibat proses modenisasi, terutama pencemaran,” katanya.

 

 

 

 

Explore More