April 27, 2024

Search
Close this search box.

Tan Sri Azman Hashim dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Kepimpinan Pengurusan UTM 

JOHOR BAHRU, 28 Oktober 2017 – Pengerusi Bukan Eksekutif dan Pengasas Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kepimpinan Pengurusan sempena Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-59 pagi tadi.

Tan Sri Azman Hashim menerima ijazah kohormat daripada DYMM Raja Zarith Sofiah.

Penganugerahan itu disampaikan oleh Canselor UTM, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah di Dewan Sultan Iskandar (DSI), kampus Johor Bahru.

Tan Sri Azman dilahirkan di Kuala Lumpur pada bulan Julai 1939 dan melanjutkan pelajaran ke Australia pada 1955 dan bidang Perakaunan Bertauliah dengan biasiswa Colombo Plan sehingga tahun 1960.

Pada tahun 1960, beliau menyertai Bank Negara Malaysia dan berkhidmat sehingga 1964 sebelum meninggalkan institusi itu untuk berkhidmat di firma perakaunannya sendiri iaitu Azman & Co. yang kemudiannya menjadi sebuah firma perkongsian dan dikenali sebagai Azman Wong Salleh & Co sehingga tahun 1971.

Beliau kemudiannya menyertai Malayan Banking Berhad (Maybank) dan memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif dari 1971 hingga 1980. Pada tahun sama, beliau meninggalkan Maybank untuk memegang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif Kwong Yik Bank Berhad (kini dikenali sebagai RHB Bank) sehinggalah tahun 1982.

Tan Sri Azman kemudiannya mengambil alih syarikat tersenarai iaitu Taiping Textiles Berhad dan Arab-Malaysia Development Bank Berhad yang dibangunkan sehiingga menjadi sebuah konglomerat dalam bidang kewangan di Kumpulan AmBank.

Beliau telah memainkan peranan penting dalam beberapa misi pelaburan Malaysia ke luar negara dan kerap dilantik sebagai Ketua Delegasi Perniagaan dan juga menyokong kuat inisiatif Selatan-Selatan.

Aktif melibatkan diri dengan pertubuhan awam dan sosial, beliau memegang jawatan dalam pelbagai pertubuhan antaranya, Pengerusi Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA), Pengerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan ahli, Badan Pentadbir Pertubuhan Produktiviti Asia (APO).

Beliau juga memegang jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Kerjasama Selatan-Selatan Malaysia Berhad, Pengerusi Emeritus Majlis Ekonomi Lembangan Pasifik (PBEC) Malaysia, Pengerusi Institut Jurubank Berkanun Asia, Pengerusi Lembaga Perkhidmatan Kewangan Profesional, Asian Banking School Sdn Bhd, Presiden Persatuan Selatan-Selatan Malaysia dan Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (MAJECA).

Ketua Mesyuarat Perniagaan ASEAN-Jepun (Jawatankuasa Malaysia, Keizai Doyukai), Presiden Persatuan Sahabat Penjara Malaysia, Bendahari Yayasan Malaysia-Australia, Ahli Majlis Penasihat Perniagaan dan Ahli Institut Kewangan Asia.

Di atas jasa-jasanya, Tan Sri Azman Hashim telah dianugerahkan dengan pelbagai bintang kebesaran antaranya Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) oleh Yang Di Pertuan Agong (1988), ‘The Order of the Rising Sun’, Gold Rays with Neck Ribbon’ dari Maharaja Jepun (1987).

Beliau juga adalah penerima pingat ‘Asia’s Banker of the Year’ oleh Bank Asian Finance (1985), pingat ‘Medal of the Order of Australia’ (A.O) oleh Governor-General of the Commonwealth of Australia and Chancellor of the Order of Australia (2008), penghormatan tertinggi yang diberikan kepada calon bukan warganegara Australia.

Tan Sri Azman juga telah diberikan pengiktirafan antarabangsa apabila beliau terpilih menerima anugerah ‘Most Oustanding Individual for Contribution to Islamic Finance’ di Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) ke-6.

Beliau turut menerima anugerah ‘Lifetime Achievement Award’ semasa Anugerah Tahunan Perniagaan dan Kewangan Islam ke-4 di Dubai (2009), ‘Lifetime Achievement Award’ semasa Anugerah Tahunan Perniagaan dan Kewangan Islam ke-4 di Dubai (2009), ‘Lifetime Achievement Award’ sewaktu acara Anugerah Tokoh Perniagaan Malaysia Ke- 2 (2010), ‘Islamic Finance Pioneering Initiative Award’ dari Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) (2016) dan ‘Malaysia Leadership Excellence Awards’ dari Institut Pengurusan Malaysia (MIM) pada 2016.

Sumbangan beliau pada UTM adalah penubuhan Dana Endowment UTM sebanyak RM 30 Juta- Tabung Biasiswa Azman Hashim dan penamaan semula Dewan Azman Hashim di UTM Kuala Lumpur, Sekolah Perniagaan Antarabagnsa Azman Hashim dan Stadium Azman Hashim.

 

 

 

 

 

 

 

Explore More