April 29, 2024

Search
Close this search box.

Penguasaan bahasa Inggeris tidak ubah budaya asal seseorang – DYMM Raja Zarith Sofiah

JOHOR BAHRU, 22 Oktober 2017 – Penguasaan bahasa Inggeris yang tinggi tidak akan mengubah budaya asal seseorang malah akan meningkatkan tahap keilmuan individu berkenaan.

DYMM Raja Zarith Sofiah bergambar bersama Prof. Ir. Datuk Dr. Wahid Omar dan ahli kelab bahasa Inggeris Tunku Canselor di PRZS.

Hal ini disebabkan oleh bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa yang menjadi pertuturan penduduk dunia tanpa mengira apa bahasa ibundanya.

Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Zarith Sofia Almarhum Sultan Idris Shah berkata, penguasaan bahasa Inggeris langsung tiada kena mengena dengan perubahan gaya hidup seseorang.

“Telahan mengenai penguasaan bahasa Inggeris dapat mengubah budaya hidup dan pegangan agama seseorang itu adalah sama sekali tidak tepat.

“Dalam hidup kita mempunyai banyak pilihan.

“Kita boleh ambil yang positif untuk kemajuan negara kita dan buang yang negatif.

“Tidak perlu ambil kesemuanya,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian di majlis perjumpaan dengan ahli Kelab Bahasa Inggeris Tuanku Chancelor, di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS), UTM Johor Bahru.

Yang hadir Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan), Prof. Dr. Zainuddin Abdul Manan dan Pengarah Hal Ehwal Korporat UTM, Prof. Dr. Masputeriah Hamzah.

Raja Zarith yang juga Permaisuri Johor memberi contoh diri baginda yang telah merantau ke United Kingdom di awal usia remaja untuk melanjutkan pelajaran.

Baginda tinggal di negara Eropah selama belasan tahun sehinggalah menamatkan pengajian di Oxford University.

“Sepanjang tinggal di sana, kami dikehendaki melakukan pelbagai aktiviti termasuklah menyanyi di kumpulan koir dan sebagainya tetapi itu semua tidak pernah mengubah saya secara keseluruhannya.

“Malah, saya menjadikannya sebagai cabaran sepanjang tinggal di negara berkenaan untuk mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris saya dan seterusnya menamatkan pengajian di universiti,” titah baginda.

Baginda turut menggesa bakal graduan meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris sebagai salah satu persediaan untuk melangkah ke alam pekerjaan.

“Dengan kemahiran tinggi dalam menguasai bahasa global ini, seseorang graduan itu boleh meningkatkan kebolehpasaran pekerjaan bagi dirinya.

“Semakin tinggi kemahiran berbahasa Inggeris itu maka semakin mahallah nilai graduan itu di mata majikannya,” pesan baginda.

Explore More