April 27, 2024

Search
Close this search box.

Petron Lancar Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Universiti

KUALA LUMPUR – Petron sebagai sebuah syarikat yang menyokong kuat advokasi keselamatan jalan raya, meneruskan lagi usaha meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan belia melalui Program Keselamatan Jalan Raya Petron. Pada tahun ini, Petron telah membuat pelancaran program tersebut dengan kerjasama daripada  Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur (UTM) untuk mencapai lebih ramai pengguna jalan raya terutamanya dalam kalangan belia bagi memupuk dan meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya.

Seramai lebih kurang 1000 mahasiswa telah terlibat dalam memberikan sokongan terhadap kempen ini. Mahasiswa ini diberikan pendedahan teori dan praktikal tentang keselamatan jalan raya melalui aktiviti-aktiviti yang disediakan. Di penghujung kempen kesemua mahasiswa yang terlibat telah diberikan sijil penghargaan dan hadiah bagi yang memenangi permainan interaktif.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Rosli bin Isa, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia serta dihadiri oleh beberapa tetamu kehormat antaranya Yang Berbahagia Profesor Dr. Durrishah Idrus, Pro Naib Canselor (Kampus UTMKL), En. Lokman Hani, Ketua Keselamatan, Sekuriti, Kesihatan dan Alam Sekitar Korporat Petron Malaysia dan Tuan Ismail Mohd Zawawi, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Wilayah Persekutuan.

Program Keselamatan Jalan Raya ini turut mendapat kerjasama daripada rakan kongsi Petron antaranya Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR), Jabatan Pengangkutan Jalan dan  Goodyear Tyre Malaysia.  Program yang berlangsung selama satu hari ini menggalakkan penggunaan jalan raya yang bertanggungjawab, pencegahan kemalangan, dan taklimat penukaran minyak enjin motosikal.

Kempen Keselamatan Jalan Raya Petron adalah selaras dengan objektif United Nations Decade of Action for Road Safety 2011-2020, sebuah advokasi global yang menggalakkan pemanduan yang selamat melalui pematuhan undang-undang lalu lintas yang ketat, penggunaan tali pinggang keledar, pemakainan topi keledar yang sesuai untuk penunggang motosikal, dan lain-lain.

Explore More