April 26, 2024

Search
Close this search box.

IRDA tubuh Kursi Profesor Iskandar Malaysia di UTM

PUTRAJAYA, 5 September 2017 – Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) menubuhkan Kursi Profesor Iskandar Malaysia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui endowmen dengan peruntukan sejumlah RM 3 juta daripada Kumpulan Wang Projek Sosial (SPF).

Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar dan Ketua Pegawai eksekutif IRDa Datuk Ismail Ibrahim bertukar dokumen perjanjian sambil diperhatikan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Menteri Besar Johor Dato’ Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Lermbaga Pengarah UTM, Tan Sri Halim Ali (kanan).

Tujuan utama penubuhan kursi itu untuk membantu usaha-usaha ke arah pembentukkan pembangunan lestari wilayah berkenaan melalui kesimbangan dalam pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar.

UTM dan IRDA telah bersetuju melantik Prof Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo sebagai penyandang kursi berkenaan untuk tempoh selama dua tahun.

Penubuhan Kursi Profesor Iskandar Malaysia direalisasikan menerusi pertukaran memorandum persefahaman antara IRDA dan UTM  yang disaksikan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak,  di pejabatnya di sini, hari ini.

Turut hadir di majlis itu Pengerusi Lembaga Pengarah UTM, Tan Sri Abdul Halim Ali, Pengarah Jabatan Pengajian Kementerian Pengajian Tinggi, Datin Paduka Siti Hamisah bt Tapsir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Ahmad Fauzi Ismail,  Pengarah Unit Endowmen UTM, Prof Madya Dr. Yusof Boon dan  Bendahari UTM, Hj Abu Bakar Mohd Salleh.

Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata, UTM berterima kasih kepada IRDA atas kepercayaan meletakkan Kursi IM@UTM di UTM bagi membolehkan bekerjasama antara penyandang dan penyelidik UTM dalam melaksanakan kajian dan inisiatif bagi membantu usaha ke arah pembangunan lestari Wilayah Iskandar Malaysia.

Menurutnya melalui kerjasama itu, IRDA bersetuju menyumbang RM3 juta kepada Tabung Endowmen UTM dan hasil pelaburannya akan digunakan sebagai geran bagi membiayai penyelidikan penyandang.

“Melalui kerjasama ini UTM akan mengeluarkan RM100,000 sebagai geran permulaan dan sebagai in kind sejumlah RM RM 216,000 setahun untuk menjayakan penubuhan kursi ini,” katanya.

Datuk Wahid berkata, kursi yang dipersetujui bersama adalah dalam bidang alam sekitar, ekonomi dan sosial dan ianya adalah sejajar dengan wawasan Pembangunan Lestari Wilayah iaitu Iskandar Malaysia Circle of Sustainability.

UTM juga bersetuju kursi berkenaan ditempatkan di Pusat Kecemerlangan UTM iaitu Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Geotropik dan Fakulti Kejuruteraan Awam supaya penyelidikan UTM di dalam bidang berkaitan dapat bekerjasama dengan penyandang untuk menjayakan hasrat berkenaan.

“Penubuhan kursi ini menjadi pemangkin ke arah pembentukan inovasi yang lebih sistematik, terbuka dan mesra pengguna untuk meningkatkan jaringan kerjasama yang berimpak antara Universiti, industri dan komuniti.

“Pada masa yang sama kita memainkan peranan secara bersama demi pembangunan ekonomi dan sosial dan kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

Sehingga kini UTM telah menubuhkan lapan kursi Profesor kepada penyandang dalaman UTM dan pihak luar dan antaranya kursi yang ditubuhkan bersama pihak PROTON, Kiswire, MISC, Syarikat Marconi Italiano dan Endowmen UTM.

Explore More