April 26, 2024

Search
Close this search box.

Menteri Pendidikan Tinggi rasmi bangunan AMTEC

JOHOR BAHRU, 10 Ogos 2017 – Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ seri Idris Jusoh hari ini merasmikan Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC) yang merupakan salah satu pusat kecemerlangan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pengarahnya, Prof. Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, AMTEC bermula dengan tertubuhnya Unit Penyelidikan Membran (MRU) pada tahun 1990 di Kampus UTM Kuala Lumpur (UTMKL) yang kemudiannya telah dinaik taraf sebagai salah satu pusat kecemerlangan (CoE) di UTM pada tahun 2008.

Menurutnya, pada November 2015, AMTEC telah diiktiraf secara rasmi sebagai Institusi Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi ( HICoE ) dalam bidang Water Reclamation oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

“Sejak ditubuhkan, AMTEC telah dikenali sebagai pusat rujukan serantau dan antarabangsa dalam bidang teknologi membran.

“AMTEC telah mencapai kejayaan yang sangat membanggakan sebagai platform untuk meningkatkan dan memantapkan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C) dalam bidang bahan termaju berasaskan membran,” katanya.

Beliau berkata, AMTEC ditunjangi oleh tiga kumpulan penyelidikan yang terdiri daripada penyelidik-penyelidik dinamik dan komited yang cemerlang dalam pelbagai bidang kepakaran yang berkaitan dengan bahan termaju berasaskan membran dan pembuatan teknologi tinggi.

Program penyelidikan AMTEC merangkumi bidang-bidang penyelidikan pelbagai disiplin yang berkaitan dengan sains membran termaju dan teknologi dalam spektrum yang meluas termasuk dalam bidang rawatan dan pemulihan air sisa, pemisahan gas, sel bahan api, dan sel solar.

Pusat berkenaan berkerjasama dengan pelbagai institusi tempatan dan antarabangsa seperti Petronas Research Sdn Bhd, Sime Darby Research Sdn. Bhd dan Aliran Ihsan Resources Berhad (AIRB) iaitu Aliran Ihsan Resources Berhad (AIR Berhad) yang juga merupakan anak syarikat MMC Corporation Berhad.

“AMTEC juga diberi kepercayaan untuk menjalankan penyelidikan peringkat antarabangsa berimpak tinggi tajaan Kesatuan Eropah (EU) dan bekerjasama dengan pelbagai industri dan universiti di Eropah serta berjaya mendapat geran sebanyak RM 1.33 juta untuk pembangunan membran nano-komposit.

“Selain itu, AMTEC turut menjana pendapatan sebanyak RM 6.5 juta hasil daripada aktiviti-aktiviti R&D&C.

“Sebagai salah satu pusat kecemerlangan, AMTEC memberi tumpuan yang padu dan menyeluruh kepada penerbitan ilmiah berimpak tinggi sebagai salah satu dari hasil penyelidikan, perundingan dan perkhidmatan,” katanya.

Prof. Dr. Ahmad Fauzi  berkata, pada tahun lepas sahaja, AMTEC telah menerbitkan 148 jurnal antarabangsa yang berimpak tinggi dan kertas kerja berwasit dengan kumulatif faktor impak mencecah sehingga 360.

Hasil penyelidikan AMTEC juga dapat dilihat dari segi penerbitan buku, bab-bab dalam buku, prosiding persidangan dan pemfailan paten. Setakat ini, AMTEC telah menghasilkan 105 pelajar pascasiswazah di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah.

Perasmian bangunan itu diharap menjadi pendorong kepada warga AMTEC untuk terus mencipta kegemilangan bagi memastikan kelestarian pembangunan penyelidikan di AMTEC demi agama, bangsa dan negara.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, KPT Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir dan Profesor Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar, Naib Canselor UTM.

Explore More