April 26, 2024

Search
Close this search box.

Kumpulan CikguF juarai pertandingan WhatDeHack 2017

JOHOR BAHRU, 19 Ogos 2017 – Kumpulan CikguF yang terdiri dari guru-guru sekolah dalam bidang teknologi maklumat muncul sebagai pemenang hadiah utama pertandingan WhatDeHack anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Perbadanan Usahawan Negeri Johor (EDC) dan UTM Media and Game Innovatin Centre of Excellence (MaGICX).

Pemenang WhatDeHacks 2017 bergambar kenangan selepas majlis penyampaian hadiah di UTMCSI, kampus Johor Bahru.

Pertandingan itu berlangsung di UTM Centre of Student Innovation (CSI) selama dua hari bermula pada 19 Ogos lalu.

Selain dari hadiah utama, kumpulan CikguF turut muncul sebagai johan bagi kategori Mobile Apps dan membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah RM1,500.

Tempat kedua dimenangi oleh kumpulan Arif yang muncul juara menerusi kategori Games & Gamification diikuti dengan kumpulan wARna di tangga ketiga sebagai juara kategori Augmentasi Realiti, Realiti Maya & IoT.

Pemenang di tempat kedua dan ketiga membawa pulang hadiah wang tunai RM500.00.

Ketua Pegawai Eksekutif MaGICx, Prof. Madya Dr. Shahrizal Sunar berkata, pertandingan itu diadakan dengan matlamat untuk menerapkan nilai dan ilmu keusahawanan digital di kalangan belia di negeri Johor.

“Program WhatDeHack 2017 juga diadakan bagi melahirkan usahawan digital yang menginovasi produk-produk digital sebagai pendapatan utama.

“Pertandingan hackathon ini mempertandingkan tiga tema utama iaitu Aumentasi Realiti, Realiti Maya & IoT, Gamifikasi dan Permainan Digital dan Aplikasi Mobil.  Tema ini dipilih berasaskan elemen-elemen digital yang mempunyai nilai interaktif dan dapat menarik minat para pengguna pada masa kini,” katanya.

Dr. Shahrizal berkata pada program WhatDeHack itu, para peserta akan melalui proses pembangunan, pembentangan dan penilaian cadangan produk di mana produk yang dihasilkan akan dipilih berdasarkan potensi yang ada padanya.

“Sebanyak 11 produk dengan 30 orang peserta telah berjaya membentangkan dan produk terpilih akan dibangunkan oleh peserta bersama dengan mentor pembimbing dalam masa enam bulan,” katanya.

Produk yang dibertandingkan dinilai oleh juri profesional dan mentor yang terdiri dari pihak penganjur dan rakan strategik program iaitu MSC Cyberport Johor, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Jabatan Perdana Menteri, Cradle, Iskandar Investment Sdn. Bhd dan DEVS. Asia.

“Panel juri dibarisi oleh wakil daripada syarikat yang mempunyai kepakaran dalam bidang yang berkaitan dengan pembangunan produk inovasi, komerlisasi dan pemasaran,” katanya.

Hadiah yang ditawarkan kepada para pemenang adalah sebanyak RM500.00 bagi setiap kategori dan RM1,000.00  sebagai hadiah utama.

Peserta yang mempunyai idea dan protataip yang berpotensi mendapat peluang untuk menyertai program inkubator yang dikenali sebagai MaGICXel selama enam bulan untuk pembangunan produk dan berpeluang mendapatkan dana dan geran sehingga RM500,000.00.

Explore More