April 26, 2024

Search
Close this search box.

Sukan Para ASEAN KL: Pensyarah UTM galas tugas sebagai jurulatih negara

KUALA LUMPUR, 11 Ogos 2017 – Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Nasrul Humaimi Mahmood diberi kepercayaan untuk menggalas tugas sebagai jurulatih pasukan catur negara di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur yang akan bermula pada 17 hingga 23 September 2017.

Dr. Nasrul Humaimi bersama dengan sebahagian atlet catur dan pegawai pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang di PICC, semalam.

Pemilihan beliau untuk memimpin pasukan catur orang kurang upaya negara di peringkat antarabangsa merupakan penghormatan tertinggi yang pernah diterima dan menjadi kebanggaan kepada seluruh warga UTM.

Dr. Nasrul Humaimi dipilih berdasarkan berdasarkan pencapaian cemerlang membawa kejayaan pasukan negeri Johor dalam Sukan Paralimpiad 2016 yang muncul johan keseluruhan serta membawa pulang 5 pingat emas di Kejohanan Catur Orang Kurang Upaya Peringkat Kebangsaan 2017.

Acara catur akan disertai oleh 25 atlet yang membabitkan acara rapid (kawalan masa 30 minit) dan classical (kawalan masa satu jam) bagi kategori lelaki dan wanita.

Kategori yang terlibat adalah B1 (cacat penglihatan), B2/B3 (masalah penglihatan) dan kategori fizikal.

Kesemua kategori berkenaan menawarkan pingat dalam acara individu dan berpasukan.

Beliau bersama dengan pengurus dan barisan jurulatih yang lain telah menghadiri bengkel strategi dan sasaran kontingen Para Asean pada 9 Ogos 2017 optimis bahawa pasukan catur mampu menyumbang pingat emas untuk kontingen negara.

Pengurus dan barisan jurulatih catur dengan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, SM Nasaruddin Tan Sri SM Nasimuddin, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Ahmad Shapawi Ismail dan Pengarah Bahagian Paralimpik,  Safrushahar Yusoff pada bengkel strategi dan sasaran kontingen Para Asean.

Beliau juga turut menghadiri Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA dan PARA ASEAN Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), yang telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan membabitkan hampir 700 atlet dan pegawai, semalam.

 

Barisan pemain dan pegawai pasukan catur yang telah menyumbang lima pingat kepada kontingen UTM pada Kejohanan SUKUM 2017.

Terdahulu, beliau dan pasukan catur UTM telah berjaya membawa pulang dua pingat emas, dua pingat perak dan satu pingat gangsa dalam kejohanan Sukan Staf Universiti (SUKUM 2017) yang telah berlangsung pada 1 hingga 5 Ogos bertempat di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Semoga beliau dan pasukan catur Para Asean mampu menyumbang pingat kepada kontingen Negara untuk bergelar juara keseluruhan pada Sukan Para Asean nanti.

 

 

 

 

Explore More