April 26, 2024

Search
Close this search box.

Program Sains Matematik UTM diiktiraf di peringkat antarabangsa

 

Foo Weoi Ming akan berlepas ke United Kingdom untuk mengikuti program ijazah berganda di University of Kent.
Foo Weoi Ming akan berlepas ke United Kingdom untuk mengikuti program ijazah berganda di University of Kent.

JOHOR BAHRU, 3 Oktober 2016 – Program Sarjana Sains Matematik Industri Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila University of Kent menggandingkannya dengan Sarjana Muda Sains (Sains Aktuari) sebagai program ijazah berganda.

Naib Canselor Profesor Datuk Dr Wahid Omar berkata, langkah berkenaan membuktikan program pengajian yang ditawarkan oleh UTM berkualiti tinggi dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, UTM memperkenalkan program ijazah berganda dengan University of Kent at Canterbury bermula sesi akademik 2015/2016 yang dijalankan secara sepenuh masa dengan tempoh lazim selama lima tahun dan tempoh maksimum selama tujuh tahun.

Pelajar tahun empat Sarjana Muda Sains (Matematik Industri), Foo Weoi Ming menjadi mahasiswa pertama UTM yang akan mengikuti program Ijazah Berganda Sarjana Muda (Matematik Industri) dan Sarjana Muda Sains (Sains Aktuari).

Beliau yang akan berlepas ke United Kingdom esok akan mengikuti pengajian di tahun empat dan dan tahun lima di University of Kent, bermula sesi akademik 2016/2017 dengan dibiayai oleh Yayasan UTM  dalam bentuk separa pinjaman.

Foo Weoi Ming memperolehi pencapaian akademik cemerlang dengan mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.92 telah menunjukkan minat dan keupayaan  menggunakan matematik dan statistiks dalam bidang insurans dan kewangan yang dihasilkan dalam projek sarjana muda (PSM) pada semester lepas.

Beliau juga telah menjalani latihan industri di Jabatan  Statistiks, Bank Negara Malaysia (BNM) dan mendapat maklumbalas yang baik dari penyelianya yang sangat berpuas hati dengan kerja yang dihasilkannya.

Dr Wahid berkata, program ijazah berganda dijangka dapat meningkatkan kebolehpasaran pekerjaan  kerana pelajar mempunyai dua ijazah dalam dua bidang, iaitu bidang matematik industri dan sains aktuari.

“Graduan program Program Sarjana Muda Sains (Sains Aktuari) boleh dikecualikan daripada mengambil lapan daripada 15 kertas peperiksaan UK Actuarial Professional Examination CTI – CT8 yang diiktiraf oleh Institute and Faculty of Actuaries (IFA), United Kingdom.

“Program ijazah berganda menyokong agenda pengantarabangsaan UTM dengan meningkatkan mobiliti pelajar ke luar negara dan seterusnya membantu universiti menambah bilangan pelajar yang memiliki pengalaman pembelajaran di luar negara,” katanya.

Beliau berkata, program ini terbuka kepada semua pelajar yang mengikuti Program Sarjana Muda Matematik Industri di UTM.

Program Sarjana Muda Sains (Sains Aktuari) merupakan salah satu program yang mendapat akreditasi daripada Institute and Faculty of Actuaries (IFA), United Kingdom dan diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

 

Explore More