April 26, 2024

Search
Close this search box.

UTM dan LJBM tandatangani perjanjian pendaftaran Juruukur Bahan Siswazah Berdaftar secara berkelompok

Prof. Mohd Ismail dan Dato' Sr Abdull Manaf bertukar domumen perjanjian.
Prof. Dr. Mohd Ismail dan Dato’ Sr Abdull Manaf bertukar domumen perjanjian.

KUALA LUMPUR: 18 Ogos 2014 – Universiti Teknologi (UTM) dan Lembaga Juruukur Bahan Malaysia telah menandatangani memorandum persefahaman bagi membolehkan pendaftaran Juruukur Bahan Siswazah Berdaftar secara berkelompok.

Ketua Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina (FAB), Dr Kherun Nita Ali berkata, sebaik sahaja tamat pengajian Sarjana Muda Ukur Bahan yang ditawarkan oleh Jabatan Ukur Bahan, graduan akan terus berdaftar  sebagai Juruukur Bahan Berdaftar Siswazah.

“Kerjasama antara UTM dan LJBM bertujuan meningkatkan bilangan graduan mendaftar dengan LJBM sebagai Juruukur Bahan Siswazah Berdaftar bagi membolehkan pemegang ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan UTM mendapat pengiktirafan sebagai Juruukur Bahan Berdaftar.

“Secara strategiknya, hubungan kerjasama yang diwujudkan antara UTM dan LJBM adalah selari dengan matlamat universiti mengukuhkan kedudukan di peringkat nasional dan antarabangsa menerusi hubungan dengan industri,” katanya.

Perjanjian berkenaan ditandatangan oleh Timbalan Naib Canselor (HEMA), Prof. Dr. Mohd Ismail Abd Aziz dan Presiden LJBM, Dato’ Sr Abdull Manaf Haji Hashim sempena Quantity Surveying International Convention 2014 yangdiadakan di Hotel Pullman Kuala Lumpur.

Dr Kherun Nita berkata, selain meningkatkan jaringan hubungan sedia ada antara UTM dan LJBM, perjanjian berkenaan menjadi katalis kepada pemantapan pendidikan Ukur Bahan di UTM.

Beliau berkata, LJBM sering menganjurkan pelbagai program untuk meningkatkan bilangan Juruukur Bahan Berdaftar termasuk mengadakan perbincangan dengan universiti terpilih mengenai penyediaan kemudahan proses pendaftaran secara berkelompok.

LJBM merupakan sebuah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Pendaftaran Juruukur Bahan 1967 di bawah tanggungjawab Menteri Kerja Raya bagi mengawal selia profesion Ukur Bahan serta Kejuruteraan Kos di Malaysia.

Tanggungjawab utama LJBM adalah terhadap pendaftaran  Juruukur Bahan dan pertubuhan perbadanan atau firma yang beramal sebagai Juruukur Bahan Perunding dan peraturan-peraturan bagi profesion Ukur Bahan di Malaysia bagi melindungi kepentingan awam dan hak-hak Juruukur Bahan Berdaftar dan Firma Juruukur Bahan Perunding.

Explore More