April 26, 2024

Search
Close this search box.

Budaya kerja sama, saling menghargai dan sanggup berkorban mampu pacu kecemerlangan fakulti dan seterusnya universiti

13 Ogos – Sikap kerjasama, saling menghargai dan sanggup berkorban di kalangan staf mampu memacu kecemerlangan fakulti dan seterusnya matlamat universiti. Budaya ini perlu dipupuk untuk menanamkan rasa sayangkan organisasi dan mahu bersama-sama untuk memastikan universiti terus ke depan dan mampu bersaing di peringkat global, demikian menurut Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid b. Omar, Naib Canselor dalam Majlis Anugerah Kualiti 2013 dan Sambutan Aidil Fitri, Fakulti Kejuruteraan Awam di Dewan Banquet UTM Johor Bahru.

Tambahnya semua jabatan dan fakulti seharusnya memperbanyakkan lagi program yang dapat mengeratkan silaturahim di antara staf untuk menimbulkan rasa dan semangat penyatuan untuk sama-sama memajukan organisasi mereka. Beliau memuji pengurusan Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) kerana sangat aktif mengadakan program-program sebegini. Beliau yakin hasilnya telah berjaya dibuktikan kerana Fakulti Kejuruteraan Awam telah berjaya mencapai beberapa kejayaan penting sejak dulu lagi.

Pada tahun ini program Sarjana Muda Kejuruteraan Awam merupakan satu-satunya program yang telah mendapat pengiktirafan oleh Engineering Accreditation Council, Lembaga Jurutera Malaysia untuk tempoh selama 5 tahun tanpa syarat. Pada 26 Jun lalu FKA juga telah dianugerahkan Anugerah Kualiti Akademik 2013 oleh UTM dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Penghargaan Citra Krisma atas kejayaan mengadakan pelbagai insiatif bagi meningkatkan kualiti pengurusan akademik dan output program.

Beliau turut mengalu-alukan usaha FKA yang turut menjemput staf yang telah bersara, alumni, bahkan bekas staf fakulti yang telah berpindah ke jabatan lain dalam majlis ini kerana perjumpaan ini dapat dijadikan meduim untuk mereka bekerjasama melaksanakan pelbagai program yang dapat dimanfaatkan oleh pelajar maupun staf. Selain bertanya khabar staf dapat mengeratkan silaturahim sesama mereka.

Menurut Prof Madya Dr. Mushairry b. Mustaffar, Pengerusi Jawatankuasa majlis ini sebanyak 34 Anugerah telah disediakan untuk majlis ini dan melibatkan seramai 380 orang penerima. Penerima anugerah ini bukan sahaja staf fakulti bahkan kepada bekas staf fakulti yang telah banyak berjasa di peringkat kebangsaan maupun di peringkat antarabangsa. Kita juga turut memberi penghargaan kepada ALUMNI kita berjaya mengharumkan nama universiti dan negara amnya.

Anugerah tertinggi adalah Anugerah Jasa Dekan, yang dianugerahkan kepada mantan staf FKA yang telah berjaya membawa nama baik FKA di peringkat Kebangsaan dan antarabangsa iaitu, Prof Dr. Karim Mirasa. Beliau merupakan bekas Dekan FKA dan kini berkhidmat di Universiti Malaysia Sabah. Manakala anugerah kedua tertinggi adalah Anugerah ALUMNI yang diberikan kepada Dr. Sukarno b. Wagiman, yang kini merupakan Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia dan Ir. Mat Lazim b. Zakaria yang kini merupakan Pengerusi, Perunding MLA, yang banyak terlibat dalam projek-projek pembinaan di peringkat Negara.

Menurut Prof. Dr. Shahrin b. Mohammad, Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam, seramai lebih 250 orang tetamu yang terdiri staf, ALUMNI dan bekas staf FKA telah hadir di majlis ini yang merupakan acara tahunan fakulti. Program sebegini amat penting kepada fakulti untuk memastikan semua warga fakulti dirasai kehadiran mereka dan usaha dan pengorbanan mereka diraikan .
Tambahnya, majlis pada tahun ini disekalikan dengan majlis sambutan Aidil Fitri dan meraikan beberapa kejayaan fakulti.

Explore More