April 26, 2024

Search
Close this search box.

NC UTM temui pemimpin Universiti Arab Saudi jalin kerjasama akademik

ARAB SAUDI, 15 April – Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof. Ir. Dr. Wahid Omar telah berkesempatan menemui beberapa pucuk pimpinan universiti Arab Saudi bagi menjalin kerjasama akademik ketika menghadiri majlis pembukaan rasmi International Exhibition and Conference on Higher Education (IECHE) 2014 yang berlangsung di Riyadh International Exhibition and Conference Centre.

IECHE merupakan persidangan dan expo tahunan yang terbesar didunia dengan jumlah penyertaan sejumlah 490 buah universiti antaranbangsa dan tempatan Arab Saudi.

Prof. Wahid sempat melawat beberapa buah gerai universiti yang menyertai pameran itu dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu semasa pengajian tinggi.  Antara yang ditemui Naib Canselor adalah Timbalan Rektor Pembangunan Universiti Antaranbangsa Madinah (IUM) Prof Dr Mahmud Abd Rahman Al-Qadahi, dan juga Rektornya, Prof. Dr. Khalid Al-Ankary.

Sepanjang pertemuan itu, pihak IUM telah melahirkan kegembiraan atas kerjasama yang dijalankan bersama dengan UTM iaitu projek pembangunan program kejuruteraan peringkat pra-siswazah dalam bidang mekanikal, elektrikal dan awam.

Naib Canselor juga berpeluang melawat gerai University of Hail (UH), Arab Saudi dan bertemu dengan Rektor universiti tersebut, Prof. Dr. Khaleel Ibrahim Al Ibrahim, Timbalan Rektor Pembangunan Akademik dan Khidmat Masyarakat Prof. Dr. Rashid M Alhamali, Timbalan Rektor Pembangunan Akademik dan Khidmat Masyarakat, Prof. Dr. Rashid M. Alhamali dan Dekan Sekolah Kejuruteraan, Dr. Abdul Aziz Alghonamy.

Setelah menjalankan perbincangan yang panjang lebar akhirnya Rektor UH melahirkan hasrat untuk menjalin kerjasama.

Pihak UTM juga telah bersetuju menjemput Dekan Sekolah Kejuruteraan universiti itu, Dr. Abdul Aziz, dan pasukannya untuk melawat universiti ini bagi melihat kemungkinan kerjasama yang diusahakan kedua belah pihak.

Prof. Wahid juga menemui Prof. Khalid Khoshhal, Timbalan Rektor Pengajian Siswazah dan Penyelidikan Universiti Taibah (TU) dan membincangkan mengenai program PhD khas untuk staf wanita universiti berkenaan.

Bidang utama bagi memulakan program ini adalah dalam bidang Sains, Matematik, Komputer dan Pendidikan.

Alumni UTM, Dr. Saad As Subair, pensyarah di Universiti An Noura, Riyadh juga telah menjemput Prof. Wahid untuk makan malam di rumahnya.  Beliau merupakan antara mahasiswa dari Sudan yang pertama mendapat Ijazah Kedoktoran dari universiti ini.

IECHE 2014 adalah merupakan program tahunan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi Arab Saudi bagi memberikan lebih akses kepada pelajar negara berkenaan mengenai program-program yang ditawarkan oleh universiti tempatan dan antarabangsa.

Explore More