April 26, 2024

Search
Close this search box.

UTM dan ADABI tandatangan memorandum persefahaman

AdabiKUALA LUMPUR, 25 Februari 2014  – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan ADABI Consumers Industries Sdn Bhd (ADABI) menandatangani  memorandum persefahaman (MoU) bagi menghasilkan makanan segera berasaskan sumber tempatan. 

UTM dan ADABI bersetuju untuk berkongsi kepakaran menjalankan penyelidikan dan pembangunan menghasilkan produk makanan halal untuk haiwan peliharaan, terutamanya kucing.   

Perjanjian berkenaan membuka ruang yang lebih luas kepada kedua belah pihak merangka perancangan penyelidikan bersama dalam menghasilkan produk makanan haiwan halal yang menjadi perintis dalam negara dan dunia.  

Perjanjian itu ditandatangani oleh Naib Canselor UTM, Prof Ir Dr Wahid Omar  dan Pengarah Urusan Adabi Consumer Industries Sdn Bhd,  Dato’ Syed Manshor  Syed  Mahmood. 

Ia disaksikan oleh Pro Canselor UTM, Tan Sri Dr. Salleh Mohd. Nor yang menjadi penggerak kepada program kerjasama antara kedua belah pihak. 

ADABI adalah sebuah syarikat bumiputera yang terkenal sebagai pengeluar pelbagai produk makanan halal harian dan segera seperti rempah ratus, makanan dalam tin, kicap, sos dan cili. 

ADABI adalah syarikat bumiputera yang berpotensi tinggi dalam mengeluarkan produk yang lebih berinovasi dengan bersaing dengan produk lain di pasaran domestik dan global.    

UTM memiliki tenaga pakar dalam bidang bioproses, mikrobiologi, kimia, biokimia nutrisi dan kemudahan makmal yang mampu menghasilkan pelbagai penyelidikan bagi manafaat kedua belah pihak. 

Kerjasama ini bakal melahirkan lebih ramai pelajar di peringkat sarjana dan doktor  falsafah dalam bidang industri makanan selari dengan inisiatif kerajaan untuk membentuk Model Baru Ekonomi berasaskan kreativiti dan inovasi.     

Selain itu, kerjasama antara UTM dengan beberapa buah universiti di Korea, Amerika Syarikat dan Jepun dalam bidang ini mampu dimanfaatkan bersama bagi membantu syarikat bumiputera mengeluar produk yang setanding di peringkat pasaran global.     

Melalui kerjasama ini juga pelbagai faedah boleh diperolehi khususnya dalam  membantu negara meningkat kepakaran penyelidik dalam  bidang teknologi makanan halal dalam penerokaan produk inovatif untuk pasaran global.  

Kerjasama ini mampu memenuhi tuntutan fardu kifayah dalam pengeluaran produk halal tempatan dan seterusnya merealisasikan hasrat negara untuk menjadikan Malaysia sebagai Halal Hub dalam industri pemakanan di rantau ini  dan peringkat antarabangsa. 

Kerjasama ini juga membuka peluang kepada rakyat Malaysia membekal bahan mentah bagi projek ini, di samping melahirkan beberapa SMI’s bagi menampung keperluan bahan mentah semi-proses dan yang siap diproses.

Explore More