April 27, 2024

Search
Close this search box.

TABUNG ENDOWMEN UTM TERIMA SUMBANGAN RM531,647

Dr Zaini bersama penyumbang dana Tabung Endowmen UTM.

JOHOR BAHRU, 7 Januari 2013: Dana Tabung Endowmen, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus bertambah apabila sejumlah RM531,647 disumbangkan oleh pelbagai pihak di majlis Amanat Tahun Baru Naib Canselor yang diadakan pagi ini.

Mendahului senarai penyumbang ialah Pengarah Urusan Maha Persada Capital Sdn Bhd, Dato’ Yusof A Bakar @ Md Taib sebanyak RM300,000, Pengarah Urusan Maha Persada Holding Sdn Bhd, Ir Dato’ Hj. Yusni Meon RM100,000, Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah (FGHT) RM100,000, Pejabat Harta Bina (PHB) RM19,647 dan Sekolah Pengajian Siswazah (SPS) RM12,000.

Sumbangan oleh FGHT disampaikan oleh Dekan, Profesor Dr Alias Abd Rahman hasil kutipan Majlis Makan Malam Alumni FGHT yang diadakan di PWTC pada 14 Disember lalu.

Pengarah Kerja, Prof. Madya Dr Abd Latif Salleh menyampaikan sumbangan bagi pihak PHB menerusi pelaksanaan program balik kampung pada perayaan sepanjang tahun 2012.

Manakala, sumbangan dari SPS disampaikan oleh Dekan, Prof. Madya Dr Nordin Yahaya hasil sumbangan semua pensyarah dan staf yang bertanggungjawab mengurus dan mengendalikan program luar.

Sementara itu, Dato’ Yusof berkata, minatnya untuk membantu UTM telah lama wujud tetapi hanya berpeluang memulakannya pada tahun lalu.

“Sumbangan ini diharap dapat membantu membiayai pengajian pelajar dan melaksanakan aktiviti bagi menjayakan wawasan UTM untuk menjadi universiti terkemuka di dunia,” katanya.

Manakala, Dato’ Yusni berkata lebih banyak program perlu diadakan bagi memberi maklumat yang lebih jelas kepada alumni UTM supaya mereka dapat menghulurkan bantuan untuk Tabung Endowmen.

Dato’ Yusuf adalah graduan dalam bidang Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina pada tahun 1998 manakala Dato’ Husni pada tahun 1996 dalam bidang Kejuruteraan Awam.

Explore More