October 6, 2025

AROSHE 2025 UTM KL angkat AI dan SDG Dalam Keselamatan Pekerjaan

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Pusat Kelestarian Kampus (CCS) Kuala Lumpur dengan kerjasama Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) telah berjaya menganjurkan 5th Advance Research on Occupational Safety, Health and Environment (AROSHE2025) pada 30 dan 31 Julai 2025 bertempat di Ilmuan 1 Menara Razak dan secara dalam talian melalui platform Webex.

Program yang bertemakan “Leveraging AI for Compliance with Occupational Safety and Environmental Regulations” menghimpunkan penyelidik, pengamal industri, serta pembuat dasar bagi memperkukuh pematuhan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) melalui teknologi kecerdasan buatan (AI).

Majlis telah dirasmikan oleh YBrs. Ir. Ahmad Jailani Mansor, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Selangor Malaysia. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan kepentingan inovasi teknologi dalam meningkatkan pematuhan keselamatan industri dan memperkukuh budaya kerja selamat di Malaysia.

Ir. Ahmad Jailani Mansor, Pengarah DOSH Selangor merasmikan AROSHE 2025

Sebagai inisiatif selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan prinsip kelestarian kampus, AROSHE2025 turut menekankan aspek pematuhan terhadap piawaian keselamatan dan alam sekitar melalui pendekatan pintar dan beretika. Program ini menjadi landasan kepada pemindahan ilmu, kolaborasi rentas sektor dan pembudayaan nilai hijau dalam pengurusan tempat kerja dan persekitaran industri.

Lebih signifikan, AROSHE2025 turut diiktiraf sebagai sebuah platform latihan profesional yang sah dengan penganugerahan mata kompetensi seperti 15 Program Pendidikan Berterusan (CEP) daripada DOSH untuk penyertaan secara fizikal (Kod: HQ/14/2025/00147), 10 CEP daripada DOSH untuk penyertaan dalam talian (Kod: HQ/14/2025/00165 (2)), serta 20 mata Pembangunan Kompetensi Pembinaan (CCD) daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk peserta industri pembinaan (Kod: CIDBWP/CIMS/2025/34559). Pengiktirafan ini menambah nilai kepada peserta bukan sahaja dari sudut ilmu, tetapi juga pembangunan profesional berterusan mengikut keperluan industri.

Program selama dua hari ini telah menampilkan lapan penceramah jemputan yang terdiri daripada pakar dalam pelbagai sektor keselamatan, kesihatan pekerjaan, alam sekitar dan teknologi.

Penceramah pertama, Zulkarnain Mohd Said

Zulkarnain Mohd Said, pakar dalam Pengurusan Keselamatan Proses dan Keselamatan Berasaskan Tingkah Laku (BBS), membuka sesi pertama dengan tajuk “Safety Generative Leadership Toward Beyond Compliance” yang mengetengahkan pendekatan kepimpinan keselamatan secara holistik.

Pelbagai topik berkaitan integrasi teknologi dalam keselamatan, kesihatan pekerjaan dan kelestarian alam sekitar telah dibentangkan oleh pakar industri dan agensi berkaitan. Antaranya, Pengarah S.A.F.E Consultancy Provider, Ts. Hj. Fakhruddin Esa, membincangkan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam penyelesaian keselamatan pintar dan pemantauan risiko yang lebih efisien, manakala Timbalan Pengarah MSOSH, Ts. Dr. Khairul Fahzan Salleh, menekankan peranan AI dalam memperkukuh pengurusan keselamatan pekerjaan secara digital dan responsif.

Turut diketengahkan, Pegawai Kanan JAS Negeri Sembilan, Ts. Dr. Siti Norhidayah Abdullah, yang menjelaskan pendigitalan dan penggunaan elemen forensik dalam penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Sementara itu, Pengurus QHSE Sapura Offshore, Ts. Dr. Ahmad Soyuti Haji Sabran, membincangkan teknologi AI dalam menilai tahap kematangan budaya keselamatan di organisasi berisiko tinggi, dan Jurutera Forensik DOSH, Ir. Tajul Ariffin Mohamed Nori, menekankan keseimbangan antara keselamatan pekerja, kelestarian alam sekitar dan kebajikan komuniti industri.

Selain itu, pakar SHE, Nurul Jannah Mohamad Nazri, memaparkan peranan Internet of Things (IoT) dalam pemantauan masa nyata operasi keselamatan, kesihatan dan alam sekitar, di samping amalan ergonomik dan pematuhan berterusan. Naib Presiden 1 MSOSH, Mohamad Aliasman Morshidi, menutup sesi dengan menekankan pendekatan berpusatkan manusia bagi membangunkan budaya keselamatan yang mampan dan berkesan.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Ts. Habsah Md Ishak, Pengarah DOSH Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program ini serta menyeru agar sinergi antara akademia, industri dan agensi kerajaan terus diperkukuh dalam mendepani cabaran keselamatan pekerjaan era digital.

Majlis penutup oleh Pengarah DOSH Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Ts. Habsah Md Ishak (tengah)

Penganjuran AROSHE2025 telah diketuai oleh Ir. Ts. Dr. Mohd Shamsuri Khalid selaku Pengerusi, dengan sokongan Timbalan Pengerusi, Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip yang menjadi tulang belakang utama dalam memastikan kelancaran keseluruhan program, dari perancangan hingga kepada pelaksanaan. Turut sama menyumbang ialah ahli jawatankuasa dari pelbagai jabatan dan pusat di UTM Kuala Lumpur yang komited terhadap agenda keselamatan dan kelestarian.

Program ini bukan sahaja membuka ruang diskusi saintifik, malah turut memperkukuh jaringan kerjasama antara penyelidik dan pengamal keselamatan industri ke arah pematuhan yang lebih mampan, sejajar dengan aspirasi SDG dan UTM sebagai kampus berkelestarian.

Oleh PM Ir. Dr. Shamsul Sarip dan Ir Dr. Mohd Shamsuri Khalid

Explore More