📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Badan Pengurusan Lenggong Geopark untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan geopark bertaraf global. Kerjasama ini akan melibatkan penyelidikan bersama, pembangunan teknologi geospatial, latihan profesional dan program pemindahan ilmu kepada komuniti setempat. UTM akan berperanan sebagai peneraju utama dalam menyumbang kepakaran multidisiplin untuk menyokong pembangunan geopark secara mampan dan bersepadu.
LENGGONG, 1 Apr – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh peranan sebagai universiti penyelidikan bertaraf global apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Badan Pengurusan Lenggong Geopark dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Kaloi, Resort Tasik Raban Lenggong Perak.
Majlis bersejarah ini disaksikan oleh YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak dan disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim. Dalam majlis tersebut, Naib Canselor UTM bersama Pengerusi Badan Pengurusan Lenggong Geopark, Mohd Fitri Hassan, menandatangani MoU sebagai simbol komitmen memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan geopark bertaraf global.

Turut berlangsung ialah simbolik penyerahan Makmal Pembelajaran Terbuka UTM Lenggong Geopark yang bakal menjadi platform utama bagi pelaksanaan pembelajaran lapangan, penyelidikan serta pemindahan ilmu antara universiti, kerajaan dan komuniti setempat. Kerjasama strategik ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh pembangunan Lenggong sebagai sebuah UNESCO Global Geopark, di samping memperluas aktiviti pendidikan, penyelidikan, inovasi serta pembangunan pelancongan berasaskan warisan dan alam semula jadi. Perasmian makmal tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar Perak sebagai simbol pengukuhan agenda pembelajaran dan penyelidikan bertaraf global.
Menurut Naib Canselor UTM, universiti komited untuk memanfaatkan kepakaran dalam pelbagai bidang termasuk geoinformasi, teknologi satelit, remote sensing, digital heritage mapping, perancangan bandar serta pembangunan mampan bagi menyokong pengurusan geopark secara lebih sistematik dan berimpak tinggi.
“Lenggong Geopark bukan sahaja sebuah tapak warisan dunia yang penting, tetapi juga merupakan Makmal Pembelajaran Terbuka yang menyediakan ruang luas untuk penyelidikan, pendidikan dan inovasi berasaskan warisan serta alam semula jadi,” jelas beliau.

Melalui kerjasama ini, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan termasuk penyelidikan bersama, pembangunan teknologi geospatial, latihan profesional serta program pemindahan ilmu kepada komuniti setempat. Sebagai manifestasi komitmen tersebut, turut berlangsung penyerahan geran padanan oleh Naib Canselor UTM bagi memperkasa agenda penyelidikan dan pembangunan Lenggong Geopark.

Dalam usaha memperluas impak pendidikan global, UTM melalui Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), UTM berperanan sebagai peneraju utama dalam menyumbang kepakaran multidisiplin merangkumi perancangan bandar dan wilayah, seni bina, seni bina landskap, ukur bahan serta geospatial bagi menyokong pembangunan geopark secara mampan dan bersepadu. Dekan FABU, Prof. Sr Dr. Kherun Nita Ali bersama barisan taskforce turut memainkan peranan penting dalam pelaksanaan kerjasama strategik ini.
Sehubungan itu, pelbagai program antarabangsa dirancang untuk dilaksanakan, antaranya Summer Programme, Field School Programme, Geo-Rangers: The English Hunt, Kursus Pendek Profesional ‘Community Based Tourism’, Program Geo-Asset Community Mapping serta Program Siswa Geo Prihatin. Program-program ini melibatkan pelajar dari universiti luar negara, politeknik dan sekolah tempatan yang akan menjalani pembelajaran di UTM sebelum meneruskan pengalaman pembelajaran lapangan di Lenggong Geopark melalui pendekatan fieldwork laboratory dan open classroom.
Pendekatan ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar, malah membuka peluang kepada komuniti setempat untuk turut terlibat dalam aktiviti pendidikan, pelancongan serta pembangunan ekonomi berasaskan warisan. Dalam sesi lawatan, delegasi turut mendengar penerangan daripada TPr Dr. Norhazliza Abd Halim, selaku pengarah program berkaitan inisiatif penyelidikan dan pembangunan Geopark. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Hj. Nasarah yang mengikuti penerangan mengenai aktiviti pembelajaran di kawasan tersebut.


Kerjasama ini turut memberi impak signifikan kepada UTM dengan memperkukuh penglibatan global universiti serta menyumbang kepada peningkatan penarafan antarabangsa seperti QS World University Rankings, khususnya dalam aspek penglibatan global. Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi ASCEND 2030 dalam memperluas mobiliti pelajar dan pengantarabangsaan pendidikan, di samping meningkatkan prestasi bidang Environmentral Sciences serta mengekalkan kecemerlangan Architecture and Built Environment sebagai antara yang terbaik di Malaysia.
Bagi Lenggong Geopark pula, penglibatan UTM sebagai universiti penyelidikan terkemuka negara menjadikan kawasan ini sebagai pusat pembelajaran terbuka berasaskan konsep open classroom. UTM turut berperanan sebagai rakan saintifik strategik dalam menyokong pencapaian indikator penyelidikan serta memastikan kelangsungan pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark melalui penilaian semula setiap empat tahun.
Pengiktirafan Lenggong sebagai UNESCO Global Geopark turut membuka ruang kepada jaringan kerjasama antarabangsa dengan geopark dunia seperti Zhangjiajie Global Geopark di China, English Riviera Global Geopark di United Kingdoms serta Arouca Global Geopark di Portugal. Kerjasama ini dijangka memperkukuh kedudukan Lenggong sebagai destinasi geopelancongan bertaraf global sekali gus mengangkat Malaysia sebagai hab pendidikan dan penyelidikan geopark di peringkat antarabangsa.
UTM optimis bahawa kolaborasi ini akan menjadi model kerjasama strategik antara universiti, kerajaan dan komuniti dalam memacu pembangunan wilayah secara mampan serta memberi manfaat berterusan kepada masyarakat dan negara.