April 28, 2024

Search
Close this search box.
Pengarah Pusat Pengajaran dan Pembelajaran Prof. Dr. baharuddin Aris mengadakan perbincangan dengan wakil Universiti King Mongkut, Bangkok.

JOHOR BAHRU, 3 Januari: Aktiviti Global Outreach Program (GOP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya memberi pendedahan kepada staf bukan akademik menimba ilmu dan pengalaman berharga di luar negara.

 Sepanjang tahun 2011 seramai 512 orang staf pelbagai kategori menyertai program yang julung kali diperkenalkan oleh UTM yang menjadi pusat pengajian tinggi awam pertama di negara ini memperkenalkan program berkenaan.

Naib Canselor Profesor Datuk Dr Zaini Ujang berkata, program berkenaan berjaya memberi pendedahan kepada staf UTM mempelajari sistem kerja yang lebih efisyen dan efektif.

“UTM adalah antara universiti tempatan yang mempunyai bilangan penuntut antarabangsa paling ramai dengan jumlah lebih 3,000 orang dari pelbagai negara.

“Pengalaman yang diperolehi semasa berada di luar negara dapat membantu staf UTM berurusan dengan pelajar dan staf bukan warganegara dengan lebih profesional,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 22 buah universiti di sembilan negara telah dilawati dalam tempoh antara tujuh dan 14 hari seperti Jepun, Australia, Turki, Korea Selatan, United Kingdom, Hong Kong, China dan Indonesia.

Manakala universiti yang dilawati ialah Tokai, Meiji, Monash, Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT), Western Australia, Universiti Teknologi Queensland,  Imperial College, Nottingham, Oxford, Tshinghua, Peking, Hong Kong Polytechnic University dan Korea Advanced Institute of Science and Technology (KAIST).

“Program ini memberi peluang kepada semua lapisan staf merasai peluang melawat ke luar negara sekali sepanjang perkhidmatan di samping menimba pelbagai ilmu dan pengalaman di universiti terkemuka.

“Sebanyak RM 1 juta diperuntukkan untuk fasa pertama dengan setiap staf diberi peruntukan kewangan antara RM1,000 dan RM2,000 bergantung kepada destinasi lawatan dan kos selebihnya ditanggung oleh staf,” katanya.

Profesor Zaini berkata,  oleh kerana sambutan yang menggalakkan UTM menambah peruntukan sebanyak RM1 juta lagi bagi membolehkan lebih ramai menyertai program berkenaan.

Antara syarat yang ditetapkan ialah setiap kumpulan dikehendaki mengadakan lawatan ke sekurang-kurangnya sebuah universiti dengan menggunakan pendekatan pembelajaran secara pengalaman.

Mereka perlu membuat perbincangan awal dengan universiti yang dilawati untuk mengadakan kolokium, seminar, persidangan, perbincangan serta taklimat bagi mendedahkan staf dengan sistem kerja yang lebih elektif dan efisyen.

Sebagai persediaan untuk ke luar negara semua staf yang terbabit dikehendaki mengikuti kursus komunikasi bahasa Inggeris selama seminggu sebagai syarat wajib.

Explore More