📝 Ringkasan
Jabatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Termaju, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama Yayasan Penyayang Iskandar Puteri (YPIP) terus memperluas akses latihan TVET komuniti menerusi Bengkel Urutan Holistik: Terapi Kepala dan Kaki. Program pada 1 Ogos 2026 itu membekalkan kemahiran asas urutan yang selamat, beretika dan berpotensi menyokong kesejahteraan diri serta penjanaan pendapatan komuniti.
GELANG PATAH, 1 Ogos – Jabatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Termaju, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama Yayasan Penyayang Iskandar Puteri (YPIP) meneruskan usaha memperkasa komuniti menerusi penganjuran Bengkel Urutan Holistik: Terapi Kepala dan Kaki yang berlangsung di Dewan Raya Kampung Pekajang, Gelang Patah, baru-baru ini.
Bengkel sehari itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Transformasi Sosioekonomi Iskandar Puteri melalui Pemerkasaan Latihan TVET Berimpak Tinggi. Inisiatif berkenaan memanfaatkan pendekatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi membangunkan kemahiran praktikal yang mudah diaplikasikan, inklusif serta bersesuaian dengan keperluan masyarakat setempat.
Program tersebut diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Dayana Farzeeha Ali dari Jabatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Termaju, FEST, UTM. Menurut beliau, bengkel berkenaan bukan sahaja memberi pendedahan kepada peserta mengenai kemahiran baharu, malah menghubungkan aspek penjagaan diri, kesejahteraan komuniti dan potensi keusahawanan kecil.
“Melalui kerjasama antara UTM dan YPIP, kami berusaha membawa latihan TVET yang praktikal dan dekat dengan keperluan komuniti. Kemahiran urutan holistik perlu dipelajari secara selamat dan beretika agar dapat dimanfaatkan untuk penjagaan diri, membantu kesejahteraan keluarga serta dikembangkan sebagai peluang penjanaan pendapatan,” jelas beliau.

Sepanjang program, peserta diperkenalkan kepada konsep urutan holistik, anatomi asas kepala dan kaki serta prinsip terapi yang menekankan keselesaan penerima. Peserta turut mengikuti demonstrasi dan latihan praktikal urutan kepala, terapi kaki serta refleksologi secara berperingkat di bawah bimbingan penceramah dan fasilitator.
Pengisian terapi kepala merangkumi tujuan dan manfaat urutan, kesesuaian penerima, waktu yang sesuai untuk menjalankan sesi serta langkah berjaga-jaga. Bagi terapi kaki pula, peserta didedahkan kepada persediaan sebelum urutan, pemeriksaan kontraindikasi dan teknik asas termasuk thumb walking, regangan, penjagaan keselesaan pelanggan serta amalan penutupan sesi.
Aspek keselamatan turut diberikan penekanan bagi memastikan peserta memahami keadaan yang memerlukan urutan dielakkan atau dihentikan. Kebersihan tangan dan peralatan, penggunaan minyak urutan yang sesuai, komunikasi dengan penerima, persetujuan, privasi serta etika profesional turut diterapkan bagi membentuk amalan perkhidmatan yang selamat dan bertanggungjawab.
Pendekatan demonstrasi yang diikuti latihan praktikal membolehkan peserta memahami kedudukan tangan, kawalan tekanan dan urutan langkah kerja sebelum mempraktikkannya dengan lebih yakin.
Latihan dikendalikan oleh Ts. Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip selaku penceramah bengkel dengan dibantu ahli kumpulan penyelidik, Dr. Mohd Izyan Zuhaili Zainudin dan Dr. Khairul Anuar Abdul Rahman.

Majlis perasmian program disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YPIP, Hj. Mohd Muzhaffar Ra’il. Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan terhadap usaha UTM dan YPIP dalam menyediakan latihan kemahiran yang memberi manfaat langsung kepada penduduk Iskandar Puteri.
“Program berasaskan kemahiran seperti ini membantu masyarakat meningkatkan pengetahuan, keyakinan dan keupayaan kendiri. Kerjasama antara UTM dan YPIP wajar diteruskan kerana manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh komuniti serta membuka ruang kepada peningkatan ekonomi keluarga,” ujar beliau.
Penganjuran bengkel ini selari dengan aspirasi pembangunan komuniti yang menekankan aspek kesejahteraan, keterangkuman dan kelestarian. Program berkenaan turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3 berkaitan kesihatan dan kesejahteraan, SDG 4 berkaitan pendidikan berkualiti, SDG 8 berkaitan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi serta SDG 10 dalam usaha mengurangkan ketidaksamaan akses kepada latihan.

Melalui sinergi kepakaran universiti dan jaringan komuniti YPIP, Bengkel Urutan Holistik diharapkan dapat menjadi platform kepada peserta untuk membina kemahiran baharu, mengamalkan penjagaan kesejahteraan secara bertanggungjawab serta meneroka peluang keusahawanan kecil dalam bidang perkhidmatan kesejahteraan.