JOHOR BAHRU, 9 Jan – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Hari Graduasi dan Majlis Penutup bagi Program Hydrographic Surveying I (UTM HYDRO I), iaitu sebuah program profesional yang diiktiraf di bawah FIG/IHO/ICA Kategori B oleh International Board on Standards of Competence for Hydrographic Surveyors and Nautical Cartographers (IBSC).
Penganjuran majlis ini menandakan penutup rasmi program serta menjadi platform pengiktirafan terhadap kejayaan para graduan yang telah memenuhi keperluan akademik dan profesional selaras dengan piawaian antarabangsa. Program UTM HYDRO I telah berlangsung selama enam bulan bermula 23 Jun 2025 hingga 26 Disember 2025.
Majlis ini dianjurkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama strategik pelbagai agensi dan organisasi berkaitan sektor hidrografi dan maritim, termasuk Pusat Hidrografi Nasional, Jabatan Laut Malaysia serta rakan industri dan institusi profesional yang terlibat secara langsung dalam pembangunan kepakaran hidrografi negara. Kerjasama ini mencerminkan hubungan erat antara universiti, agensi kerajaan dan industri dalam memperkukuh pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat yang terdiri daripada kepimpinan akademik dan profesional negara, antaranya Prof. Sr Dr. Kherun Nita Ali selaku Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur, UTM; Laksamana Muda Dr. Najhan Md Said, Ketua Juruukur Hidrografi Malaysia dari Pusat Hidrografi Nasional; serta Prof. Madya Sr Dr. Ami Hassan Md Din selaku Pengerusi Jawatankuasa Program Hidrografi UTM. Kehadiran barisan tetamu kehormat ini mencerminkan sokongan padu terhadap pelaksanaan program hidrografi bertaraf antarabangsa serta pengiktirafan terhadap kepentingan bidang hidrografi dalam pembangunan maritim negara.

Seramai sepuluh orang graduan daripada Program Hydrographic Surveying I Kategori B telah dianugerahkan sijil pengiktirafan rasmi. Para graduan ini mewakili pelbagai agensi kerajaan, angkatan tentera laut serta sektor industri swasta, sekali gus mencerminkan kebolehgunaan dan kerelevanan program ini dalam konteks profesional. Graduan yang diraikan ialah Mohd Roslan Mohd Yusof dari Jabatan Laut Malaysia; Muhammad Adhwa Syahmi Md Taib dari East Marine Works Sdn. Bhd.; Lt Dya Muhammad Aiman Zakaria TLDM dan Lt Dya Muhammad Ezraf Aziz TLDM dari Pusat Hidrografi Nasional; Rames A/L Mahendiran dari Seascape Global Venture; Syahrul Azlan Zainuddin dari Northport (M) Bhd.; Lt Dya Wan Muhammad Eqbal Amiruddin Wan Jusoh TLDM dari Pusat Hidrografi Nasional; Lettu Laut (P) Yoyok Hadi Prayitno dari Pusat Hidro-Oseanografi Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut; serta Zakaria Ibrahim dan Zakaria Mohamad dari Jabatan Laut Malaysia.

Program UTM HYDRO I direka bentuk bagi melahirkan tenaga profesional hidrografi yang berkelayakan, kompeten dan memenuhi standard antarabangsa dalam bidang pengukuran hidrografi, pemetaan nautika serta pengurusan data marin. Untuk makluman, Program Hydrographic Surveying I di UTM merupakan satu-satunya program di Malaysia yang menerima pengiktirafan antarabangsa di bawah FIG/IHO/ICA Kategori B, sekali gus meletakkan UTM sebagai peneraju dalam pendidikan dan latihan hidrografi bertaraf global. Pelaksanaan program ini menyokong keperluan keselamatan pelayaran, pengurusan zon marin, pembangunan ekonomi maritim serta pemerkasaan bidang geospatial negara melalui latihan berstruktur dan penilaian berasaskan kompetensi.
Selain penyampaian sijil graduasi, majlis ini turut meraikan kecemerlangan graduan melalui penganugerahan Anugerah Pencapaian Akademik Terbaik kepada graduan yang menunjukkan prestasi akademik cemerlang, serta Anugerah Pelajar Terbaik kepada seorang graduan yang menonjol secara holistik dari segi akademik, sahsiah, disiplin dan kepimpinan sepanjang tempoh pengajian.

Pihak pengurusan Program UTM HYDRO I merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua graduan serta penerima anugerah atas pencapaian yang membanggakan ini. Diharapkan kejayaan yang diraikan melalui majlis ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan berterusan serta sumbangan signifikan dalam memperkasa bidang hidrografi, geospatial dan maritim di peringkat nasional dan antarabangsa.