November 17, 2025

SEREMBAN, 6 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus komited memperkukuh peranan dalam pemerkasaan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui penganjuran program UTM RoboPrint 2025 yang dilaksanakan di Negeri Sembilan. Program ini dirangka sebagai inisiatif pemindahan ilmu kepada pelajar sekolah, dengan matlamat memupuk minat dalam bidang STEM, sekali gus membentuk generasi inovator muda yang berdaya saing serta mampu bersaing di peringkat global.

Melalui program ini, pelajar didedahkan dengan pengalaman pembelajaran secara hands-on yang merangkumi demonstrasi, bimbingan fasilitator, serta aktiviti berkumpulan. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran teknikal, malah memperkukuh keyakinan diri dan kerjasama berpasukan dalam kalangan pelajar. Program juga menyasarkan penciptaan impak visual berpanjangan sebagai simbol keterlibatan UTM dalam pendidikan STEM, di samping membuka cadangan untuk penubuhan Kelab STEM atau inisiatif setara di sekolah. Siri kali ini melibatkan dua buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Agama Rembau (SEMAHIR) dan Sekolah Rendah Islam As-Sa’idiyyah (SRIAS), Seremban.

Sesi latihan bagi pertandingan robotik bersama fasilitator dan ahli Kelab Sains, SEMAHIR

Menurut Penasihat Program, Prof. Dr. Kahar Osman, yang turut menyampaikan perkongsian ilmu bertajuk “Your Attitude, Not Your Aptitude, Will Determine Your Altitude”, penglibatan awal pelajar dalam bidang STEM amat penting bagi melatih daya fikir kreatif serta membina keyakinan diri. Katanya, kunci membentuk modal insan negara adalah melalui kerjasama erat antara universiti, sekolah dan komuniti.

Pelajar SEMAHIR berkumpul sebelum program bermula

Program anjuran bersama Sekolah Pengajian Siswazah UTM dan Pusat Kejuruteraan Kardiovaskular IJN-UTM ini diterajui oleh Dr. Nadia Shaira Shafii selaku Pengarah Program. Beliau dibantu fasilitator dari Persatuan Siswazah Pascasiswazah (PGSS) Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) UTM Johor Bahru yang terdiri daripada A’faf A’qilah Ismail, Muhammad Bazil Mohamed Is, Nurul Izzati Darul Zaman, serta Nurfarah Hazira Ismail.

Barisan pengetua, guru-guru SEMAHIR bersama ahli jawatankuasa program

Pada hari kedua, kerjasama bersama Kelab Sains SEMAHIR menumpukan kepada pemantauan kemajuan pelajar dalam pengaplikasian modul robotik yang telah diberikan sebelum ini sebagai persediaan menghadapi pertandingan robotik peringkat kebangsaan. Peserta dibimbing untuk melengkapkan litar, menyemak semula kod pengaturcaraan (coding), serta menguji keberkesanan robot di atas litar sebenar. Segala hasil kerja pelajar kemudiannya direkodkan untuk dihantar ke pertandingan sebagai tanda keberhasilan bimbingan yang dilaksanakan.

Selain itu, satu sesi lanjutan turut dianjurkan di Sekolah Rendah Islam As-Syakirin (SRIAS) pada 6 Ogos 2025. Sesi tersebut memberi tumpuan kepada penubuhan kelab sains dan robotik di sekolah berkenaan. Sambutan positif diterima daripada pihak sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dengan penyertaan lebih 20 pelajar. Malah, PIBG turut menyokong usaha ini dengan mengutip dana pendaftaran bagi memastikan kelab dapat beroperasi secara berterusan serta memberi manfaat jangka panjang kepada pelajar.

Sesi pembentangan awal di SRIAS berkenaan program oleh penasihat program, Prof. Dr. Kahar Osman

Program di SRIAS turut mendapat sokongan jurulatih dari UTM Kuala Lumpur. Antara yang hadir termasuk Siti Norasikin Sharip, Muhammad Rafieq Azmy dan Muhammad Ikmal Lokman dari Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Hairul Lail Ismail dari Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) UTM Kuala Lumpur, serta Azizul Azizan dari Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI). Mereka turut digandingkan dengan fasilitator PGSS UTM Johor Bahru yang berperanan membimbing pelajar untuk memahami asas pengaturcaraan robotik dan penggunaan 3D printer. Kehadiran mereka memperkukuh kerjasama strategik antara fakulti, sekali gus mengukuhkan peranan UTM sebagai peneraju pendidikan STEM negara.

Siri lanjutan UTM RoboPrint 2025 seterusnya dijadualkan berlangsung pada September dan Oktober 2025 dengan sasaran melibatkan lebih daripada 160 pelajar sekolah. Melalui kesinambungan ini, UTM berharap dapat memperluas capaian manfaat program kepada lebih ramai pelajar, membolehkan mereka menguasai kemahiran baharu serta menimba pengalaman berharga yang akan membentuk masa depan mereka sebagai pencetus inovasi.

Sesi pelajar SRIAS diberi pendedahan awal berkenaan pengaturcaraan (coding) kereta robotik dan informasi awal berkenaan 3D printer

Secara keseluruhan, penganjuran UTM RoboPrint 2025 bukan sahaja memperkukuh hubungan strategik antara sekolah dan institusi pengajian tinggi, malah berperanan sebagai medium promosi kepada pelajar mengenai peluang pembelajaran STEM yang luas di UTM. Ia sekali gus menjadi platform inspirasi kepada generasi muda untuk bergelar pencipta inovasi yang mampu membawa Malaysia ke persada antarabangsa.

Explore More

UTM Open Day