Rabat, Maghribi, 30 Mei 2025 – Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), YBhg. Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim telah diberi penghormatan menyampaikan ucaptama bertajuk “The Concept of MALAYSIA MADANI: Sustainable Smart Cities and Computer Vision Applications” di persidangan antarabangsa GeoAdvances 2025. Persidangan ini menghimpunkan pakar geoinformasi, pemimpin industri, dan pembuat dasar dari seluruh dunia merangkumi Amerika Syarikat, Itali, Jerman, Indonesia, Jepun, Moroko, Malaysia untuk membincangkan masa depan bandar pintar dan teknologi berpaksikan manusia.
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa inovasi teknologi mesti berlandaskan nilai kemanusiaan, kelestarian dan keadilan sosial—selari dengan misi UTM dan nilai Islam sebagai asas pembangunan sejagat.
“Teknologi mesti berkhidmat untuk manusia, bukan sebaliknya,” tegas beliau. “UTM menjulang prinsip In the Name of God, for Mankind, kerana ilmu yang tidak dimanfaatkan untuk kesejahteraan adalah ilmu yang terpisah daripada nilai.”
Prof. Shafry berkongsi bagaimana UTM membangunkan inovasi berpaksikan manusia menerusi penyelidikan merentas disiplin seperti kejuruteraan mampan, AI, teknologi kesihatan, dan bahan termaju. Tiga kampus strategik UTM—di Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Pagoh—menjadi pemangkin kepada ekosistem penyelidikan dan kolaborasi industri yang berimpak tinggi.
Ucaptama beliau turut memperincikan kerangka Malaysia MADANI sebagai falsafah pembangunan negara yang mengintegrasikan nilai rahmah, kemampanan dan kesejahteraan bersama ke dalam dasar perbandaran dan teknologi. Antara contoh bandar pintar yang diketengahkan termasuk Putrajaya, Cyberjaya, dan Johor Bahru, masing-masing menampilkan aplikasi teknologi seperti GIS, AI, dan pemantauan pintar dalam perancangan bandar, keselamatan komuniti.
“Pembangunan bandar pintar tidak boleh diukur sekadar bilangan teknologi yang dipasang, tetapi bagaimana ia meningkatkan kualiti hidup rakyat,” ujar beliau sambil merujuk pelaksanaan piawaian MS ISO 37122:2019 sebagai asas kepada kemajuan bandar pintar yang telus, boleh diukur dan berfokuskan manusia.
Beliau turut berkongsi penyelidikan terkini dari makmalnya termasuk integrasi Computer Vision dalam GIS, aplikasi dron untuk keselamatan komuniti, teknologi penghapusan kabus dalam visual, dan robot pendaki untuk pemantauan struktur bangunan.
Sebagai penutup, beliau menegaskan bahawa cabaran seperti akses data, kekangan infrastruktur dan jurang kemahiran hanya dapat diatasi melalui semangat kolaborasi dan nilai-nilai teras seperti keimanan, hormat sesama insan, dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
“UTM kekal komited untuk Menginovasi Penyelesaian Lestari , demi masa depan yang lebih lestari dan berperikemanusiaan.”