April 28, 2024

Search
Close this search box.

Mahasiswa UTM kekal sihat dan aktif menerusi program KESIA KTHO Fun Day

Oleh: Chen Yiyen (Ahli KESIA KTHO)  & Siti Nur Fatin Hakimah binti Ibnuzaman (penyunting)

JOHOR BAHRU, 13 Jan Kelab Siswa Aktif Kolej Tun Hussein Onn (KESIA KTHO) telah menganjurkan KESIA KTHO Fun Day sebagai pengisian minggu kokurikulum. Program ini bertujuan mempromosikan kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat di samping menjadi salah satu medium untuk pelajar UTM memupuk semangat kerjasama dalam pasukan. Penganjuran program ini juga dilihat sebagai inisiatif bagi merapatkan hubungan silaturrahim antara penghuni KTHO.

Pada jam 8.00 pagi, para peserta mula berkumpul di Dewan Tun Hussein Onn (DTHO) dan mendaftar. Program ini telah menarik minat seramai 40 orang peserta yang bukan sahaja terdiri daripada penghuni KTHO, malah juga dari kolej lain. Program yang bermula pada jam 8.30 pagi ini dimulakan dengan kata alu-aluan dari penasihat program, Dr. Mira binti Panadi.

Penasihat program, Dr. Mira binti Panadi sedang memberikan kata alu-aluan.
Ucapan yang disampaikan oleh pengarah program, Chen Yiyen.

Seterusnya, program dimulakan dengan sesi memanaskan badan sebagai langkah untuk menjadikan tubuh badan lebih bersedia agar aktiviti yang dilakukan dapat dijalankan dengan lebih berkesan. 

Sesi memanaskan badan.

Pada jam 8:50 pagi, sesi pertama dimulakan iaitu sesi Taebo. Taebo merupakan aktiviti yang menggabungkan tendangan seni mempertahankan diri, pukulan dengan gaya tinju terbaik dan muzik kuat dengan irama.

Antara faedah yang diperoleh daripada program ini adalah dapat meningkatkan kekuatan, koordinasi, keseimbangan, daya tahan, kelenturan, dan kelajuan reaksi fizikal dan mental. Seterusnya, pelajar juga diberikan masa selama 30 minit untuk berehat sebelum bersambung dengan aktiviti seterusnya. 

Sesi Taebo.

Selepas sesi rehat, program KESIA KTHO Funday diteruskan dengan aktiviti dodgeball. Dodgeball bukan sahaja sebagai permainan yang dapat dijadikan sebagai hiburan, malah juga dapat membantu badan para peserta menjadi lebih cergas sekaligus mengurangkan tekanan. Dengan aktiviti ini, peserta juga dapat mengetahui kepentingan semangat kerjasama dalam pasukan.

Para peserta yang sedang bermain dodgeball.

Selepas sesi dodgeball, penganjur program telah menyediakan lima hadiah untuk sesi cabutan bertuah pada akhir program ini. Antara pemenang bertuah ialah Foo Yee Hui, Alicia Kua Chiew Yee, Lim Chun Xi, Lim Chie Jie dan Khoo Kean Hao.

Pihak penganjur berharap agar para peserta program KESIA KTHO Fun Day dapat menikmati pengalaman senaman yang menyeronokkan sepanjang menyertai program ini. Selain itu, program ini dilihat menjadi pencetus warga KTHO untuk mengekalkan kesihatan fizikal sekali gus menggalakkan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian.

Jawatankuasa penganjur program bersama peserta selepas berakhirnya Kesia KTHO Fun Day.

 

 

Explore More