April 28, 2024

Search
Close this search box.

Disediakan oleh Ahmad Hilman bin Borhan

JOHOR BAHRU, 7 Apr. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi merakamkan pencapaian yang membanggakan dalam QS World University Ranking (QSWUR) by Subjects 2022 apabila mencatatkan kenaikan sebanyak 30 anak tangga dari kedudukan 104 ke-74 dalam bidang Engineering & Technology menerusi laporan yang diumumkan secara rasmi oleh QS Quacquarelli Symonds semalam.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi bin Ismail berkata, pencapaian tersebut adalah signifikan untuk UTM di mana selain Engineering & Technology, bidang Architecture/Built Environment dan Engineering – Civil & Structural unggul berada di kedudukan tertinggi dalam kalangan universiti di Malaysia.

“Pencapaian ini adalah seiringan dengan visi dan misi UTM untuk menjadi universiti penyelidikan global yang tersohor dalam bidang sains, kejuruteraan dan teknologi seperti digariskan dalam perancangan strategik enVision UTM 2025.”

Bidang Kejuruteraan Petroleum turut mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila kini berada di tangga ke-44 terbaik di dunia, manakala Bidang Natural Sciences juga merekodkan peningkatan iaitu dari tangga 272 ke tangga 244.

Menerusi laporan yang dikeluarkan ini juga, UTM turut mencatatkan peningkatan yang cemerlang dalam beberapa bidang lain antaranya Social Sciences & Management yang mencatatkan peningkatan sebanyak 84 anak tangga dari kedudukan 267 kepada 183.

Pencapaian yang memberangsangkan ini antaranya didorong oleh usaha berterusan pengurusan dan warga Universiti dalam memperkasakan akademik dan penyelidikan di UTM terutamanya bagi bidang kejuruteraan dan teknologi yang merupakan tunjang dalam program akademik yang ditawarkan di Universiti ini.

Menurut Pro-Naib Canselor (Antarabangsa), Prof. Madya Dr. Mohd Ismid bin Md Said, kejayaan ini turut dibantu oleh pelbagai inisiatif pengantarabangsaan dan kesohoran global yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak di UTM terutamanya pejabat UTM International sepanjang tiga tahun kebelakangan ini.

“Ia antaranya menerusi penganjuran persidangan Asia-Pacific Association for International Education (APAIE 2019) di Kuala Lumpur yang telah menarik lebih 2500 peserta dari lebih 60 buah negara.

Selain itu, lebih 100 buah program berbentuk perkongsian kepakaran dan persidangan dalam talian telah dianjurkan oleh pelbagai fakulti dan jabatan di UTM sepanjang tahun 2020 dan 2021,” kata beliau.

Menurut beliau, program seperti ini secara langsung telah menyumbang kepada peningkatan kesohoran UTM di peringkat global sekaligus menyokong kepada lonjakan kedudukan penarafan ini.

Di samping itu, UTM turut secara berterusan menganjurkan pelbagai program pengantarabangsaan yang diadakan secara strategik dengan pelbagai jaringan antarabangsa.

Ia antaranya Virtual University Presidents Forum yang diadakan menerusi kerjasama Asia Technological University Network (ATU-Net), GE4 Global Education Summit yang dianjurkan dengan kolaborasi Global Education: Exchanges for Engineers and Entrepreneurs (GE4) dan Technological Innovation for Social Entrepreneurship and Economic Development (Tech-SEED) yang dianjurkan bersama dengan ASEAN Learning Network (ALN) dan Swiss-ASEAN Learning and Teaching (SALT) Association.

UTM secara berterusan menganjurkan pelbagai program pengantarabangsaan walau dalam era pandemik COVID-19 yang mencabar dan akan terus memperkukuhkan jaringan antarabangsanya dengan kerjasama berimpak tinggi di dalam bidang akademik dan penyelidikan.

Explore More