April 29, 2024

Search
Close this search box.

Siti Noor Aisyah Binti Shahbuddin, merupakan mahasiswa dan juga seorang atlet di Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru dan merupakan pelajar dari Sekolah Pendidikan dengan mengambil program Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (Sains Sukan). Aisyah telah menglibatkan diri dalam acara sukan Judo sejak umur 13 tahun lagi.

Pada awalnya, beliau telah ditawarkan ke MRSM di Perak tetapi disebabkan masalah kewangan Aisyah tidak dapat meneruskan pembelajarannya di sana. Akan tetapi, dirinya akui bahawa telah berminat untuk menceburi sukan Judo ini kerana ingin mengikut jejak kakaknya sendiri. Aisyah telah menjalani sesi mengenal pasti bakat pada Januari 2012 di Majlis Sukan Negara (MSN) dan berjaya memasuki ke Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail Bandar Penawar, Johor.

Beliau memasuki sekolah berasrama sejak 2012 hingga 2019 dan belajar untuk berdikari untuk meguruskan dirinya sendiri. Aisyah juga sangat bijak mengurus masa seperti waktu latihan dan sesi pembelajaran. Beliau mampu menyeimbangkan sukan dan juga pembelajaran dalam waktu yang sama. Aisyah merupakan pelajar terbaik SPM di sekolahnya pada tahun 2016 dan meneruskan pembelajarannya sebagai pelajar pra-universiti di sekolahnya selama 2 tahun.

Sepanjang menceburi sukan Judo, beliau telah menunjukkan prestasi yang baik kepada jurulatihnya. Aisyah juga telah memenangi banyak pertandingan yang telah dipertandingkan di Malaysia, sebagai contoh Kejohanan Senior Kebangsaan di mana ia merupakan kejohanan yang tinggi di Malaysia. Pada tahun 2016, beliau telah dipilih untuk mewakili negeri Johor dalam Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak, dukacitanya sukan Judo tidak tersenarai dalam acara yang dipertandingkan. Situasi ini tidak mematahkan semangat beliau untuk meneruskan latihannya sehingga beliau telah dipilih untuk mewakili Malaysia dalam Sukan Sea di Kuala Lumpur pada 2017.

Beliau merupakan atlet termuda di dalam pasukan judo tersebut dan mengambil semua kelebihan dari senior-senior untuk dijadikan pembakar semangat untuk dirinya. Semasa perlawanan beliau mengalami kecederaan yang serius dan mendapat tempat keempat. Aisyah tidak berputus asa untuk meneruskan kariernya sebagai seorang atlet.

Pada tahun 2018, beliau telah mewakili Johor pada SUKMA Perak. Aisyah telah menunggu masa yang lama untuk dirinya mewakili negeri di sukma dan akhirnya beliau mendapat pingat emas di acara sukan Judo. Ini merupakan sukma yang pertama buat dirinya dan berjaya menyumbangkan pingat emas yang kedua buat negeri Johor. Aisyah berasa sangat bangga dan terus mecapai pencapaian yang lebih baik.

Antara pencapaian tertingginya ialah Sea Games Philipines (keempat), Judo Thailand Open (gangsa), International Combat Sport Judo(emas), International Judo Beautiful Terengganu (emas) dan SUKMA 2018 (emas). Sehingga sekarang, Aisyah masih meneruskan latihan untuk mencapai pencapaian yang lebih tinggi. Pada awal tahun 2020, beliau telah menjalani latihan bagi persediaan Sukma Johor 2020 akan tetapi disebabkan penularan COVID-19 yang melanda dunia, sukma telah pun ditunda. Jurulatih telah mengambil inisiatif untuk mengadakan latihan di rumah dengan memberi jadual latihan kepada Aisyah. Hal ini demikian kerana, jurulatihnya ingin para atletnya untuk mengekalkan prestasi dan tahap kecergasaan atlet.

Di sebabkan penularan COVID-19 ini juga, beliau telah menjalani sesi pembelajaran secara online dimana ia merupakan kaedah pembelajaran yang mencabar bagi Aisyah. Walaubagaimanapun, beliau tetap mencari pelbagai usaha untuk meneruskan sesi pembelajaran secara online seperti mencari capaian internet yang kuat untuk memasuki kelas.

Pensyarah juga memberikan nota-nota dan bahan pembelajaran supaya pelajar lebih mudah untuk meneruskan proses pembelajaran mereka. Selain itu, pihak universiti juga memberikan pelbagai kemudahan seperti memberikan bantuan data percuma kepada pelajar yang mempunyai kesukaran untuk mengakses internet. Bukan itu sahaja, pihak universiti juga memberikan bantuan komputer kepada pelajar yang tidak mempunyai komputer riba dengan perlu mengisi borang permohonan. Universiti Teknologi Malaysia juga memberikan kemudahan kepada para atlet yang belajar di UTM dengan memberikan biasiswa. Aisyah merupakan pemegang biasiswa Endowmen UTM.

Beliau sangat berterima kasih kepada Pihak UTM kerana memberikan kemudahan seperti ini. Beliau lebih semangat untuk menjadi mahasiswa yang terbaik dan terus mengharumkan nama universiti.

Tuntas dengan kejayaan yang telah dicapai sebagai mahasiswa dan atlet yang sentiasa berkeyakinan ini, diharapkan dapat menjadi pendorong dan pemangkin kepada semua mahasiswa. Jangan mudah putus asa dan sentiasalah berusaha untuk mencapai impian.

“Tiada Kejayaan Semanis Madu Tanpa Usaha Sepahit Hempedu”

Explore More