April 29, 2024

Search
Close this search box.

Fakulti Pendidikan anjur Minggu Pendidik

JOHOR BAHRU, 18 Mei 2017 – Sempena sambutan Hari Guru yang bertemakan “Guru Pembina Negara Bangsa” pada 16 Mei 2017 yang lalu, Fakulti Pendidikan telah menganjurkan Minggu Pendidik yang mempunyai pelbagai acara dan majlis yang melibatkan warga Fakulti Pendidikan dan orang luar yang dijemput khas bagi meraikan pelbagai acara yang diadakan.

Dekan Fakulti Pendidikan, Prof. Dr. Baharuddin Aris merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Fakulti Pendidikan 2017

Bagi tahun ini, Minggu Pendidik diadakan selama lima hari iaitu bermula dari 14 Mei hingga 18 Mei 2017.

Acara kemuncak Minggu Pendidik ialah Sambutan Hari Guru yang diadakan pada 18 Mei 2017 bagi meraikan pendidik dalam kalangan pensyarah dan mahasiswa Fakulti Pendidikan yang juga merupakan bakal guru.

Minggu Pendidik bermula dengan program Sharing is Caring yang telah diadakan pada 14 Mei 2017.

Program itu melibatkan tetamu undangan yang terdiri daripada Alumni Fakulti Pendidikan yang bertugas sebagai pengetua dan guru besar di sekolah-sekolah sekitar daerah Johor Bahru.

Program berbentuk forum itu diadakan bagi tujuan perkongsian maklumat dan pengalaman tentang isu-isu pendidikan pada masa ini oleh pengetua dan guru besar sekolah dengan para mahasiswa ijazah sarjana muda pendidikan khususnya mereka yang bakal menjalani latihan mengajar pada tahun hadapan.

Program itu turut dimeriahkan oleh guru-guru di sekitar daerah Johor Bahru.

 

Profesor Dr Baharuddin menandatangani mural.                          
Acara kemuncak Minggu Pendidikan FP 2017 merupakan Sambutan Hari Guru 2017

Pengisian hari kedua Minggu Pendidik ialah Bengkel Pembelajaran Strategik telah dilaksanakan bagi mahasiswa tahun satu ijazah sarjana muda Fakulti Pendidikan. Program ini dianjurkan oleh Jawatankuasa First Year Experience (FYE) Fakulti Pendidikan.

Forum bertajuk Jasamu Dikenang dengan tema Golden Years Still Shining telah diadakan pada tanggal 16 Mei 2017 dengan melibatkan mantan professor Fakulti Pendidikan iaitu Professor Emeritus Dr. Ismail Khailani dan Profesor Dr. Muhammad Rashid Rajuddin.

Mereka telah dijemput bagi berkongsi pengalaman mereka dengan para mahasiswa dan juga staf akademik tentang perkembangan Fakulti Pendidikan sejak ianya ditubuhkan pada tahun 1993 dan juga cabaran yang telah dihadapi oleh mereka semasa mereka bertugas di UTM.

Selain acara berbentuk bengkel dan forum, Minggu Pendidik turut menyediakan booth FP for Us yang diadakan sepanjang Minggu Pendidik bagi tujuan mempromosikan program yang ditawarkan oleh Fakulti Pendidikan kepada tetamu yang hadir.

Hari keempat berlangsungnya sesi menandatangani mural dan mengecat parkir yang disempurnakan oleh Dekan Fakulti Pendidikan, Professor Dr. Baharuddin Aris.

Minggu Pendidik 2017 diakhiri dengan program Sambutan Hari Guru 2017 Peringkat Fakulti Pendidikan yang diadakan pada 18 Mei 2017.

Sambutan Hari Guru 2017 telah dihadiri oleh sebilangan besar warga Fakulti Pendidikan yang terdiri daripada staf akademik, mahasiswa dan juga staf pelaksana.

Sambutan Hari Guru kali ini dimeriahkan dengan acara persembahan daripada para mahasiswa sarjana muda pendidikan dan juga persembahan daripada staf akademik dan staf pelaksana melalui persembahan sketsa yang berkisar tentang kehidupan mahasiswa di universiti.

 

Explore More