KUALA LUMPUR, 28 Mac – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengumumkan pelantikan YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang sebagai Profesor Adjung di Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), UTM Kuala Lumpur, berkuat kuasa mulai 1 April 2025 hingga 31 Mac 2026.

Pelantikan ini menandakan kepulangan semula Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang ke UTM, institusi yang pernah dipimpin oleh beliau sebagai Naib Canselor dari tahun 2008 hingga 2013. Dalam tempoh tersebut, beliau telah memperkenalkan pelbagai inisiatif strategik yang membawa lonjakan signifikan kepada UTM, termasuk penubuhan MJIIT sebagai pusat kecemerlangan akademik dan simbol kerjasama erat antara Malaysia dan Jepun.
Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dikenali sebagai tokoh terkemuka dalam bidang kejuruteraan alam sekitar, kelestarian, dan pengurusan akademik. Selaku mantan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, serta Pengerusi Majlis Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) ketika ini, beliau terus memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan tinggi negara. Kepakaran dan pengalaman beliau yang luas akan menjadi aset yang sangat berharga bagi UTM dan MJIIT.
Sebagai Profesor Adjung, Dato’ Seri akan berperanan sebagai penasihat strategik kepada MJIIT dan Malaysia-Japan Linkage (MJL) Office, memberikan hala tuju dalam memperkukuh hubungan kerjasama antarabangsa. Beliau juga akan membantu pembangunan program akademik baharu, selain menyokong usaha universiti dalam membimbing penyelidik UTM dalam mencari peluang mendapatkan geran penyelidikan daripada agensi kerajaan, industri, dan antarabangsa.
Di samping itu, beliau akan menjalin hubungan dengan industri dan agensi luar, serta berkongsi ilmu dan pengalaman berharga bersama pelajar dan staf UTM MJIIT. Pelantikan ini bukan sahaja mencerminkan komitmen UTM terhadap kecemerlangan akademik, tetapi juga pengiktirafan terhadap sumbangan luar biasa Dato’ Seri kepada pembangunan institusi ini.
Pelantikan ini bukan sahaja mencerminkan komitmen UTM terhadap kecemerlangan akademik, tetapi juga sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan luar biasa Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dalam memperkasa pembangunan institusi ini. Dengan kepimpinan dan kepakarannya, UTM terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju dalam pendidikan teknikal dan penyelidikan di Malaysia serta rantau Asia Tenggara.