Kuala Lumpur, 21 Mac – Hampir 550 mahasiswa dari tujuh universiti pulang beraya ke kampung halaman menerusi Program Rahmah Madani Ramadan MAIWP: Jom Balik Raya Bersama Mahasiswa.
Program anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ini merupakan program tahunan, dan Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) telah dipilih sebagai tuan rumah pada tahun ini.
Inisiatif ini bertujuan membantu mahasiswa pulang ke kampung halaman khususnya di Pantai Timur, Utara dan Selatan, termasuk Sabah dan Sarawak yang sering menghadapi kos yang tinggi untuk pulang ke kampung halaman.
Majlis pelepasan (flag off) telah disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir, Naib Canselor UTM, Yang Berusaha Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim serta pengurusan tertinggi MAIWP, Pengurusan Universiti dan PPZ-MAIWP.

UTM telah menerima sumbangan sebanyak RM295,600 daripada MAIWP bagi membantu pelajar daripada golongan B40 dan asnaf untuk meringankan beban kos perjalanan pulang beraya.
Program ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi kemudahan perjalanan, tetapi turut mengeratkan ukhuwah serta semangat kebersamaan dalam kalangan mahasiswa.

UTM merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak MAIWP atas kepercayaan yang diberikan serta keprihatinan terhadap kebajikan pelajar secara amnya.

