Mac 9, 2025

n

Program Penetapan HIR OSCA hasrat bantu sempurnakan enVision UTM 2025

JOHOR BAHRU, 6 Feb. – Program Penetapan High Impact Results (HIR) Pelan Tindakan 2025 enVision UTM 2025 anjuran Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat (OSCA) telah berlangsung di Hotel Ramada Meridin dengan penyertaan seramai 42 orang staf.

Tahun 2025 merupakan tahun terakhir pelaksanaan Pelan Strategik enVision UTM 2025. Menurut Prof. Madya ChM. Dr. Che Rozid Mamat, Pengarah OSCA, “Berdasarkan Pelan Tindakan 2024 enVision 2025, OSCA telah diberi mandat untuk menjayakan High Impact Results (HIR), termasuk meningkatkan reputasi UTM (Universiti Teknologi Malaysia) sebagai antara tiga universiti terbaik negara dalam bidang sains dan teknologi menerusi kempen dan kandungan media, memperkukuh reputasi UTM di peringkat Asia terutama di China, India, Australia dan Korea Selatan, serta memposisikan UTM dalam kedudukan lima universiti terbaik negara dalam aspek media sosial.”

n
Prof. Madya ChM. Dr. Che Rozid menyokong aspirasi yang disampaikan oleh Naib Canselor ke-8 yang terdiri daripada lima perkara utama serta menyeru kerjasama OSCA dalam merealisasikannya

Menurut Prof. Madya ChM. Dr. Che Rozid, “OSCA berhasrat untuk menyokong dan membantu dalam menyempurnakan enVision UTM 2025 dengan menumpukan kepada aspek melahirkan graduan berkualiti yang berorientasi masa hadapan, penyelidikan berimpak, transformasi digital dan kelestarian.” Beliau turut menekankan keperluan untuk memperluaskan transformasi digital, meningkatkan pembelajaran jarak jauh (ODL) agar mencapai sasaran yang lebih tinggi, serta meneroka penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam latihan dan pembangunan staf.

Selain itu, beliau juga menyatakan hasrat untuk memperkukuh kempen dan penciptaan kandungan media berkaitan inisiatif serta impak Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), menyokong agenda UTM Kuala Lumpur sebagai Hab Antarabangsa UTM, menerajui proses pengurusan risiko di semua jabatan utama universiti, dan membangunkan laman sesawang mini bagi pengurusan strategi dan risiko.

n
Staf OSCA aktif terlibat dalam sesi perbincangan bagi membincangkan HIR masing-masing

Melalui program ini, perbincangan telah tertumpu kepada penyediaan mekanisme komprehensif untuk memantau kemajuan dan menilai keberkesanan setiap inisiatif dalam menjayakan HIR yang ditetapkan. Ia juga menggariskan pendekatan berorientasikan hasil (results-oriented) dalam perancangan dan pelaksanaan setiap inisiatif, serta memastikan penggunaan sumber manusia, kewangan, dan teknologi secara optimum bagi menyokong pelaksanaan HIR.

n
Chew Tiong Han, Ketua Seksyen Strategi dan Pengurusan Risiko membantu aspek pengisisian sasaran HIR OSCA agar memenuhi kriteria yang ditetapkan

Perbincangan dalam kumpulan kecil telah diadakan bagi memurnikan dan menetapkan HIR OSCA 2025, melibatkan Seksyen Komunikasi Korporat, Seksyen Media Kreatif dan Penjenamaan, Seksyen Pengurusan Strategi dan Risiko, serta OSCA UTM Kuala Lumpur.

Mengakhiri program, Prof. Madya ChM. Dr. Che Rozid menegaskan bahawa setiap HIR yang dicadangkan perlu dapat dilaksanakan dan setiap inisiatif yang dirancang harus memenuhi jadual yang ditetapkan. Perbincangan berkala akan terus dijalankan bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan.

Program ini membuktikan komitmen OSCA dalam menyokong UTM yang menumpukan kepada lima fokus utama yang telah dibentangkan oleh Naib Canselor ke-8, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, dalam Majlis Perutusan Naib Canselor Tahun 2025.

n
Sesi pra-perancangan pembangunan pelan tindakan HIR yang berlangsung pada 20 Januari

Explore More