JOHOR BAHRU, 10 Jan. – “Lantikan ini merupakan satu amanah kepada saya, bersama-sama dengan warga Universiti untuk membawa UTM sebagai Universiti Sanjungan Bangsa. Marilah bersama saya untuk kita bawa UTM ke destinasi sanjungan yang seterusnya,” seru Naib Canselor UTM yang baharu, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dalam ucapan sulung beliau di Majlis Penerimaan Tugas Rasmi Naib Canselor UTM ke-8 di Dewan Senat Ainuddin Wahid, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru.

UTM Sambut Baik Gagasan YB Menteri KPT
“Saya juga turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga UTM yang telah terlibat bertungkus lumus menjayakan Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 YB Menteri KPT semalam. Satu penghormatan juga kepada UTM kerana dipilih menjadi tuan rumah majlis tersebut.
“Kita juga menyambut baik tujuh (7) Fokus Utama KPT, 10 Agenda Transformasi Pendidikan Tinggi dan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 sebagaimana yang telah digagaskan oleh YB Menteri KPT semalam. Fokus dan agenda KPT ini akan kita sejajarkan dengan Pelan Strategik Universiti.
Bergerak Sebagai Satu Pasukan
“Naib Canselor adalah satu institusi kepimpinan. Sebagai sebuah institusi, Naib Canselor perlu bergerak sebagai satu pasukan untuk menuju ke satu destinasi yang kita tetapkan bersama. Oleh itu, saya menyeru kepada semua warga Universiti untuk bersama memberikan sokongan padu dan jitu kepada institusi kepimpinan ini.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail yang telah menjalankan tugas sebagai Naib Canselor UTM ke-7 dengan begitu baik dan cemerlang. Tidak dinafikan beliau telah membawa kita ke satu destinasi kecemerlangan yang kita ada sekarang.
Menjunjung Nilai Teras ISES
“Di samping itu, kita ada Nilai Teras ISES. Kita akan teruskan untuk sama-sama kita mengakarkan nilai ini supaya ia menjadi nilai teras kerja kita. Akhirnya, kita boleh mencapai prestasi cemerlang berlandaskan nilai teras ini sekali gus menjadi lebih baik daripada apa yang kita ada sekarang.
Memperkasa Kepercayaan Sebagai Sebuah Institusi Ilmu
“UTM adalah sebuah institusi yang dipercayai masyarakat. Kepercayaan ini terbukti menerusi kedudukan QS World University Rankings 2025 di tangga ke-181 di samping menerima kehadiran ramai pelajar antarabangsa.
“Namun, kita perlu terus memperkasakan kepercayaan ini di semua peringkat supaya kita boleh mengangkat nilai kepercayaan ini bagi memastikan kita terus berada di dalam pentas global yang lebih mencabar.
“Kepercayaan ini akan kita bangunkan untuk menghasilkan lebih ramai pelajar yang akan menjadi pakar dan insan yang baik menerusi pendidikan dan nilai terbaik, yang akhirnya bergraduan daripada UTM untuk mensejahterakan masyarakat di sekeliling. Inilah yang dipanggil sebagai konsep rahmatan lil ‘alamin.
Menyubur Budaya Ilmu dan Budaya Berhikmah
“Sebagai sebuah institusi ilmu, kita juga perlu memperkasakan budaya berhikmah. Untuk itu, kita akan menggiatkan program-program ilmu seperti Wacana Intelektual Madani yang akan dijalankan di semua fakulti, yang mana ia akan menjadi platform perbahasan dan perbincangan ilmu-ilmu baharu.
“Menerusi wacana ini, kita akan kumpulkan pemikir dan ilmuan dalam kalangan Profesor Emeritus, wakil industri, pakar bidang, pelajar-pelajar untuk bersama dalam program ini supaya kita dapat menyuburkan budaya ilmu dan budaya berhikmah di UTM ini.
Teroka Peluang Masa Hadapan
Warga UTM juga perlu cakna dengan perkembangan-perkembangan terkini terutama dengan kewujudan Johor-Singapore Special Economic Zone, Sedenak Data Centre, New Industrial Master Plan (NIMP) 2030, National Energy Transition Roadmap (NETR) dan Kerangka Ekonomi MADANI dilihat yang mampu menjadi pemangkin dan peluang untuk warga Universiti mensejahtera kehidupan menerusi ilmu dan inovasi teknologi, sebagaimana misi kita.

Seramai 100 staf UTM hadir dalam Majlis Penerimaan Tugas Rasmi Naib Canselor UTM ke-8. Hadir bersama dalam majlis ini ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dr. Rosli Md. Illias; Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad; En. Mohd Zaires Md. Daris yang menjalankan fungsi Pendaftar, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Muhammad Hazim Azatul Amery serta pegawai-pegawai kanan Universiti yang lain.