Pravin contoh graduan seimbang, cemerlang sukan dan akademik

SDGSDG4SDG8SDG17

📝 Ringkasan

Pravin Raj Kathiresan, seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Ketepatan Mekanikal dari Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah mencapai kecemerlangan akademik dan sukan. Beliau telah meraih 15 pingat dalam sukan mendayung dan memperoleh pengiktirafan menerusi penyelidikan tahun akhirnya. Pravin telah berdepan dengan cabaran untuk membahagikan masanya antara kuliah, tugasan akademik serta latihan sukan, tetapi penglibatan dalam bidang sukan telah membantu beliau membentuk disiplin diri dan meningkatkan keyakinan diri untuk menghadapi tekanan akademik.

JOHOR BAHRU, 16 November 2026 – Pravin Raj Kathiresan membuktikan penglibatan aktif dalam bidang sukan tidak menghalangnya daripada mencapai kecemerlangan akademik apabila beliau berjaya meraih 15 pingat sepanjang penglibatannya dalam sukan mendayung, di samping memperoleh pengiktirafan menerusi penyelidikan tahun akhirnya.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Ketepatan Mekanikal dari Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu mengumpul dua pingat emas, lapan perak dan lima gangsa sepanjang tempoh pengajian dari 2022 hingga 2026.

Antara pencapaian utamanya termasuk pingat emas acara Men’s Eight Rowing pada Harbin Asia Pacific Masters Regatta 2023 di China serta pingat perak dalam acara Men’s Boat Eight pada 2nd ASEAN–China Student Rowing Competition 2023 di Tianjin, China.

Detik kejayaan Pravin bersama pasukan selepas meraih pingat emas acara Men’s Rowing Boat Eight di Harbin Masters Regatta 2023. (Sumber Foto: Pravin)

Di sebalik kejayaan tersebut, Pravin berdepan pelbagai cabaran untuk membahagikan masanya antara kuliah, tugasan akademik serta latihan sukan.

Jadual yang padat menyebabkan beliau perlu memberi keutamaan kepada akademik serta latihan, walaupun terpaksa mengurangkan masa bersama rakan atau dirinya sendiri.

Pravin menjalani latihan sukan mendayung bagi acara Single Scull di Marina Putrajaya

Penglibatan dalam bidang sukan juga membantu beliau membentuk disiplin diri, khususnya dalam menguruskan jadual harian serta menitikberatkan pengambilan makanan yang mencukupi untuk mengekalkan kesihatan fizikal dan mental sekali gus meningkatkan keyakinan diri untuk menghadapi tekanan akademik.

Kekalahan dalam pertandingan turut menjadi sebahagian daripada perjalanan Pravin sebagai atlet.

Pengalaman tidak mencapai sasaran yang ditetapkan mendorong beliau menilai prestasi diri dan memperbaiki kelemahan melalui latihan yang lebih konsisten. 

Semangat yang sama turut diterapkan dalam penyelidikan tahun akhirnya bertajuk Development of Thermoplastic Rubber-Based Magnetorheological Elastomer Filament via Fused Filament Fabrication for 4D Printing Technology.

Penyelidikan tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan filamen elastomer magnetorheologi berasaskan getah termoplastik yang boleh digunakan dalam teknologi percetakan 4D.

Secara ringkasnya, bahan yang dibangunkan mempunyai keupayaan untuk mengubah sifatnya apabila terdedah kepada medan magnet.

Melalui pendekatan tersebut, bahan berkenaan berpotensi digunakan dalam pembangunan teknologi yang memerlukan perubahan sifat mekanikal mengikut keadaan tertentu, termasuk komponen prostetik yang memerlukan tahap kekakuan boleh laras serta sistem brek.

Beberapa percubaan menghasilkan bahan itu tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan. Namun, dengan bimbingan dan dorongan penyelianya, Profesor Madya Dr. Nur Azmah  binti Nordin serta sokongan ibunya yang sentiasa menjadi sumber inspirasi.

 

Pravin bersama keluarga yang hadir meraikan kejayaannya pada Istiadat Konvokesyen UTM ke-70

Beliau terus berusaha sehingga berjaya memperoleh keputusan yang dikehendaki. Hasil penyelidikan itu berjaya mendapat tempat kedua dalam kategori Kejuruteraan di 10th International Undergraduate Research Conference (IURC) 2026. Beliau turut meraih tempat kedua dalam UTM Materials Lecture Competition 2026.

Detik kejayaan Pravin bersama pasukan selepas meraih pingat emas acara Men’s Rowing Boat Eight di Harbin Masters Regatta 2023. (Sumber Foto: Pravin)

Selain pencapaian dalam penyelidikan, pengalaman menyertai program antarabangsa turut menjadi antara kenangan penting sepanjang pengajiannya. Pada Februari 2025, beliau berpeluang menyertai Kagoshima Kosen Global Camp 2025 di Jepun yang berlangsung dari 24 Februari hingga 1 Mac 2025.

Menerusi program tersebut, beliau bekerjasama dengan peserta dari latar belakang dan negara berbeza untuk membangunkan prototaip AquaFeast, iaitu sistem pemberi makanan ikan automatik.

Projek berkumpulan itu berjaya memperoleh tempat kedua, sekali gus memberikan pengalaman kepada beliau untuk mengaplikasikan pengetahuan teknikal dalam persekitaran kerjasama antarabangsa.

Beliau turut mengambil peluang meneroka bidang keusahawanan apabila menubuhkan Unmanned Systems Engineering PLT bersama rakan-rakannya ketika masih bergelar mahasiswa.

Pengalaman itu menjadi ruang untuk beliau mencuba perkara baharu di luar bilik kuliah, di samping memahami cabaran membangunkan usaha secara berkumpulan.

Penubuhan syarikat bersama rakan-rakan juga mencerminkan usahanya memanfaatkan ruang yang tersedia di universiti untuk mengembangkan minat dan kemahiran.

Selepas menamatkan pengajian, Pravin berhasrat untuk membina kerjaya dan terus meningkatkan kemahiran sehingga berpeluang memegang peranan sebagai pemimpin dalam sesuatu organisasi.

Beliau juga berharap dapat menggunakan pengalaman yang diperoleh sepanjang pengajian untuk memberikan sumbangan kepada bidang pekerjaan serta membantu individu lain mencapai potensi masing-masing.

Mengakhiri perkongsian, beliau menasihatkan mahasiswa agar tidak mengehadkan pengalaman universiti kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya mengambil peluang menyertai aktiviti, mencuba perkara baharu dan membina hubungan dengan orang sekeliling.

Menurutnya, kehidupan di universiti menawarkan ruang untuk mengenali kemampuan diri, belajar daripada kesilapan dan membentuk kemahiran yang berguna selepas bergraduasi.

Explore More

UTM Open Day