Sokongan keluarga bawa Emellda ke mercu kejayaan

SDGSDG4SDG8SDG10

📝 Ringkasan

Emellda Eliza Meton Anak Lucers, seorang pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan sistem elektronik. Beliau berasal dari Miri, Sarawak, dan telah berjalan jauh dari keluarganya untuk mengejar cita-cita. Emellda telah menghadapi cabaran dalam mengejar ilmu dan mengimbangi tuntutan akademik, persahabatan dan hubungan kekeluargaan. Beliau telah menerima sokongan daripada ibu dan bapanya yang telah berusaha memastikan keperluan pengajiannya terjaga.

JOHOR BAHRU, 16 November 2026 – Di sebalik segulung ijazah yang bakal diterima, tersimpan perjalanan panjang yang dipenuhi pengorbanan, kerinduan dan doa dua insan yang sentiasa percaya kepada kemampuan seorang anak.

Bagi Emellda Eliza Meton Anak Lucers, kejayaan menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan sistem elektronik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya menjadi bukti bahawa segala usaha dan pengorbanan keluarganya selama ini tidak sia-sia.

Berasal dari Miri, Sarawak, Emellda membesar dalam suasana kehidupan yang sederhana dan tenang, jauh berbeza daripada kesibukan Kuala Lumpur yang menjadi sebahagian daripada pengalaman baharunya sebagai mahasiswa.

Minat terhadap bidang kejuruteraan mula berkembang apabila beliau mendapat pendedahan kepada subjek Fizik semasa mengikuti pengajian matrikulasi selama dua tahun dalam Modul 1. Minat tersebut kemudiannya mendorong beliau memilih UTM sebagai antara tiga pilihan utama untuk melanjutkan pengajian.

Inspirasi untuk menjadi seorang jurutera turut hadir daripada bapanya sendiri yang terlebih dahulu menceburi bidang tersebut. Dalam kalangan ahli keluarganya, tidak ramai yang memilih laluan kerjaya kejuruteraan, sekali gus menyuntik semangat buat Emellda untuk meneruskan legasi itu.

“Saya mahu menjadi jurutera kedua dalam keluarga dan wanita pertama yang menceburi bidang ini. Ayah merupakan inspirasi saya kerana beliau sendiri seorang jurutera,” kongsinya.

Emellda Eliza selepas berjaya menamatkan pembentangan Projek Tahun Akhir (FYP) dalam FYP Symposium

Namun, perjalanan menuntut ilmu jauh dari keluarga bukanlah sesuatu yang mudah. Sebagai anak Sarawak yang berhijrah ke Semenanjung Malaysia demi mengejar cita-cita, Emellda perlu membiasakan diri dengan kehidupan berdikari, selain mengimbangi tuntutan akademik, persahabatan dan hubungan kekeluargaan.

Baginya, cabaran paling besar bukan semata-mata berkaitan pengajian, tetapi kesukaran mencari masa untuk keluarga. Jadual harian yang berbeza sering menyukarkan beliau menghubungi ibu dan bapanya. Ibunya yang tidur awal, manakala bapanya bekerja mengikut syif, menyebabkan waktu mereka sukar diselaraskan.

Ada kalanya, ketika memerlukan sokongan keluarga, beliau terpaksa memendam perasaan dan cuba kelihatan kuat agar ibu bapanya tidak bimbang. Keadaan itu turut membuatkan beliau sedar bahawa perjalanan mengejar impian kadangkala menuntut pengorbanan terhadap masa bersama insan tersayang.

“Sekarang saya akhirnya berjaya menjadi seorang jurutera, tetapi dalam perjalanan itu saya terpaksa menerima hakikat bahawa saya menjadi anak yang sibuk, adik-beradik yang berjauhan dan sahabat yang jarang dapat meluangkan masa,” jelasnya.

Walaupun berasal daripada keluarga yang bukan senang, Emellda bersyukur kerana ibu bapanya sentiasa berusaha memastikan keperluan pengajiannya terjaga.

Yuran pengajian, penginapan kolej kediaman dan wang perbelanjaan bulanan disediakan agar beliau dapat memberikan tumpuan kepada pelajaran serta menikmati kehidupan sebagai mahasiswa tanpa perlu terlalu memikirkan beban kewangan keluarga.

Emellda Eliza ketika menyertai program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2025 sebagai wakil pelajar Sarawak
Emellda Eliza ketika menyertai program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2025 sebagai wakil pelajar Sarawak

Namun, semakin meningkat usia, semakin jelas baginya pengorbanan yang dilakukan oleh kedua-dua ibu bapanya.

Perubahan fizikal yang dilihat pada mereka, daripada rambut yang semakin memutih, kedutan pada wajah hinggalah langkah yang semakin perlahan, menjadi peringatan bahawa masa terus berlalu dan pengorbanan mereka tidak pernah berhenti.

“Saya perhatikan wajah mereka yang semakin berkedut, rambut yang semakin putih dan cara mereka berjalan yang semakin perlahan berbanding beberapa tahun dahulu. Saya juga melihat betapa penatnya mereka bekerja. Ketika itulah saya sedar bahawa saya perlu berjaya, walau apa pun cabaran yang sedang saya hadapi. Kenangan itu tidak pernah dapat saya lupakan,” katanya.

Detik paling bermakna buat Emellda hadir apabila beliau disambut oleh keluarga di pintu ketibaan. Kata-kata ringkas, “We are proud of you”, menjadi ungkapan yang cukup bermakna selepas melalui perjalanan panjang berjauhan daripada keluarga.

Bagi Emellda, kejayaan ini turut membawa makna besar kepada keluarganya. Beliau bakal menjadi pemegang ijazah sarjana muda kedua dalam kalangan adik-beradiknya, sekali gus melengkapkan satu lagi impian keluarga yang dibina melalui usaha dan sokongan bersama.

“Mum, Dad, ijazah ini mungkin tertulis nama saya, tetapi pengorbanan itu adalah milik kita bersama,” ungkap Emellda, merakamkan penghargaan terhadap kedua-dua ibu bapanya yang sentiasa berada di belakang setiap langkah kehidupannya.

Emellda bersama kedua-dua ibu bapanya yang sentiasa menjadi sumber kekuatan dan sokongan sepanjang perjalanan pengajiannya

Selepas bergraduasi, Emellda berhasrat untuk membina kerjaya sebagai jurutera eksekutif, dengan peluang untuk terlibat secara langsung dalam kerja-kerja di tapak projek serta urusan dokumentasi dan pentadbiran di pejabat.

Impian itu menjadi langkah seterusnya dalam perjalanan profesionalnya selepas berjaya menamatkan pengajian di UTM.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada mahasiswa, khususnya anak Sarawak dan mereka yang berhadapan kekangan kewangan, agar tidak mudah berputus asa dalam mengejar pendidikan.

Menurutnya, mahasiswa perlu proaktif mencari peluang tajaan, bantuan kewangan dan kemudahan yang disediakan kerajaan seperti Bantuan Kewangan Khas (BKK) serta inisiatif penerbangan Siswa.

Selain itu, beliau menyarankan mahasiswa membina jaringan hubungan dengan individu dan pihak yang dapat membuka peluang pekerjaan sambilan ketika mempunyai kelapangan.

Pengalaman tersebut bukan sahaja membantu menambah pendapatan, malah memberikan pendedahan dan pengalaman kerja yang berguna.

“Teruskan berusaha dan jangan takut untuk mencari peluang yang ada. Paling penting, jangan lupa menikmati zaman muda sebagai seorang mahasiswa. All the best!” pesannya.

Bagi Emellda, hari graduasi bukan sekadar penamat kepada satu fasa pendidikan, tetapi permulaan kepada perjalanan baharu yang membawa bersama harapan dan pengorbanan keluarga.

Daripada langkah pertama memasuki alam persekolahan sehinggalah menjejakkan kaki ke UTM, ibu dan bapanya sentiasa menjadi penyokong utama.

Kini, apabila tiba masanya untuk melangkah ke alam kerjaya, beliau membawa bersama bukan sahaja ilmu dan ijazah yang diperoleh, tetapi juga kenangan serta pengorbanan dua insan yang tidak pernah berhenti mempercayainya.

Sesungguhnya, kejayaan yang tertera pada segulung ijazah itu bukan miliknya seorang, tetapi kejayaan sebuah keluarga yang berjuang bersama-sama.

Explore More

UTM Open Day